Dua lelaki termasuk warga emas maut motosikal bertembung
KOTA BHARU - Dua penunggang motosikal termasuk seorang warga emas maut dalam kemalangan berhampiran RBI Jaya Canopy dekat Jalan Salor-Pasir Mas, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua mangsa berusia 28 dan 79 tahun itu meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang.
"Siasatan awal mendapati penunggang lelaki berusia 28 tahun yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Wakaf Che Yeh menghala ke Pendek sebelum motosikalnya dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu terlanggar secara berhadapan dengan sebuah lagi motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh mangsa warga emas berkenaan.
"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang melihat kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik Inspekyor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!