Dua sahabat maut dirempuh kereta ketika pulang dari kerja
KUALA KRAI - Dua sahabat maut apabila motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta ketika pulang dari kerja di kilometer 76, Jalan Kota Bharu - Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di sini pada Isnin.
Kedua-dua wanita yang berusia 48 dan 49 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 4 petang.
"Kemalangan terbabit melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa, serta dua buah kereta, Proton Iriz dan Perodua Myvi.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua wanita terbabit dari arah SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Pahi menghala ke Kampung Baru Pahi manakala kereta Proton Iriz dari arah Kuala Lumpur ke Machang," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, apabila tiba di simpang tiga tempat kejadian, motosikal tersebut telah membelok ke kanan memasuki simpang untuk pulang ke rumah.
Ujarnya, pada masa yang sama, kereta Proton Iriz dari arah bertentangan tidak sempat membrek dan telah melanggar motosial terbabit lalu berlanggar pula dengan kereta Perodua Myvi datang dari arah bertentangan iaitu Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur.
Mazlan memberitahu, Proton Iriz terbabas ke bahu jalan bertentangannya bersama motosikal terbabit.
Tambah beliau, akibat dari pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki manakala pembonceng cedera di kepala.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk dibedah siasat.
"Pemandu Proton Iriz dan Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis.
"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai atau hubungi talian 011-29286619," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!