Serang program Syed Saddiq: Polis sahkan tahan dua individu
KUALA LUMPUR - Polis menahan dua individu kerana disyaki menjadi dalang insiden kekecohan pada majlis pertemuan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Ulu Tiram, Johor Bahru malam semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan dan usaha mengesan individu lain masih giat dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana dengan jahat mendatangkan kebangkitan kemarahan kepada seseorang yang mungkin menyebabkan rusuhan, serta Seksyen 355 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan seseorang.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah untuk cubaan mengurung orang secara salah serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan seseorang secara jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau memandang serius insiden provokasi terbabit terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika program itu.
Katanya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut secara telus, tegas dan berintegriti tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tubuh pasukan khas siasat kekecohan program Syed Saddiq
"Saya menyeru semua pihak agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dalam apa jua cara yang boleh menimbulkan provokasi sehingga tercetusnya ketidaktenteraman," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak mempolitikkan insiden tersebut dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan ketidaktenteraman awam dalam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!