Penyerang Australia Dylan sah sarung jersi Harimau Kumbang

Dylan Wenzel-Halls sah menyarung jersi Penang FC.
Dylan Wenzel-Halls sah menyarung jersi Penang FC.
A
A
A

PENYERANG dari Australia Dylan Wenzel-Halls sah menyarung jersi Penang FC sekali gus menamatkan khabar angin sebelum ini yang mengaitkan pemain berkenaan sebagai bintang baharu yang akan dipancing skuad Harimau Kumbang.

Pengumuman mengenai perpindahan pemain berusia 27 tahun itu dibuat Penang FC melalui Fecebook Penang Football Club (PFC) hari ini yang turut memuat naik gambar bintang itu menandatangani kontrak bersama pasukan bola sepak terbabit.

Dilahirkan di Ipswich, Queensland, kehadiran susuk yang berketinggian 170 sentimeter (cm) itu dijangka memperkuat skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super 2024/2025 musim ini.

"Dylan dikenali dengan kelajuan dan naluri tajam di padang. Beliau bersedia untuk memberi impak besar bersama pasukan Harimau Kumbang.

"Dylan telah mencipta nama bersama kelab-kelab utama seperti Brisbane Roar, Western United, dan Central Coast Mariners dalam A-League,” menurut hantaran itu.

PFC memaklumkan pengalaman luas pemain itu dalam liga utama Australia telah mengasah kebolehannya untuk menjaringkan gol, menjadikan beliau aset penting untuk pasukan Penang FC pada jendela perpindahan kedua kali ini.

Selain itu, kehadiran Dylan juga dilihat sebagai harapan untuk membaiki ketumpulan barisan serangan Pulau Pinang yang bermasalah dari awal musim.

Sejak beberapa minggu lepas, timbul ura-ura mengatakan Penang FC bakal membawa masuk pemain itu, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak pengurusan mengenai perkara terbabit ketika itu.

Penang FC mengharungi saingan Liga Super pada kedudukan ketujuh dengan mengutip 10 mata daripada lapan perlawanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!