Taman tema di puncak Komtar
Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan lokasi pelancongan yang menarik, lengkap berserta syurga makanan serta kaya dengan budaya dan sejarah.
Destinasi Sinar kali ini menyorot dua lokasi menarik di Pulau Pinang untuk tatapan pembaca.
Yang pertama ialah The Top, taman tema tertutup yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), betul-betul di tengah bandar raya George Town.
Taman tema tertutup yang terletak di lokasi strategik dan dikelilingi ikon pelancongan Pulau Pinang itu merupakan antara tarikan utama pelancong untuk mengunjungi negeri ini.
Dibuka secara rasmi pada Disember 2016, The Top menyediakan pelbagai tarikan menarik antaranya ialah rainbow skywalk, menara tinjau, restoran, pusat kajian jurassic, restoran, kubah teknologi Pulau Pinang dan banyak lagi.
Rainbow skywalk merupakan tempat paling tinggi di The Top yang terletak di tingkat 68 iaitu di atas bumbung bangunan Komtar.
Di situ, pengunjung boleh merasai pengalaman berjalan pada ketinggian 244.6 meter dari aras laut di atas lantai kaca yang membolehkan pengunjung melihat bandar George Town dari aras tertinggi bangunan Komtar.
Observatory deck atau menara tinjau pula terletak di tingkat 65 menampilkan laluan kaca yang membolehkan orang ramai melihat pemandangan di seluruh bandar di kawasan pulau.
Selain itu, The Top juga menyediakan sebuah restoran iaitu Top View Restaurant & Lounge @ 68th yang menawarkan pelbagai sajian menarik.
Pengunjung boleh menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah dari restoran yang terletak di tingkat 68 itu.
Sementara itu, pusat kajian jurassic pula merupakan antara tarikan utama The Top kerana menyediakan lebih 200 replika dinosaur yang menggunakan teknologi animatronik bagi mewujudkan suasana seakan-akan berada di era makhluk berkenaan.
Pengunjung terutamanya kanak-kanak pasti akan menyukainya kerana mereka berpeluang melihat secara dekat, sekali gus mempelajari tentang kewujudan makhluk berusia jutaan tahun itu.
Pusat berkenaan bukan sahaja memberi keterujaan kepada kanak-kanak, malah ia turut memberi pengalaman bermakna buat golongan dewasa.
The Top juga menyediakan Butik Akuarium Pulau Pinang yang mengandungi pelbagai jenis flora dan fauna termasuk hidupan laut yang sesuai dikunjungi oleh pelbagai peringkat usia.
Di situ, pengunjung boleh mempelajari tentang dunia bawah laut dan langkah yang boleh diambil untuk memelihara dan melindungi kehidupan akuatik.
PEMANDANGAN LAUT
Lokasi kedua yang menjadi tarikan baharu pengunjung ke Pulau pinang ialah Taman Gurney Bay Fasa Pertama yang terletak di Persiaran Gurney.
Lokasi berkenaan baru sahaja dibuka kepada orang ramai pada Februari lalu di atas tanah tebus guna dengan kos bernilai RM221 juta.
Fasa satu taman itu menampilkan dek pemandangan, kawasan riadah, taman permainan, taman papan seluncur, kios, tandas dan tempat letak kereta terbuka yang meliputi kawasan lebih 10.9 hektar.
Salah satu ciri unik taman tersebut adalah laluan pejalan kaki yang mengelilingi taman permainan.
Lokasinya yang menghadap ke arah laut membolehkan pengunjung menikmati pemandangan indah terutamanya pada waktu pagi dan petang.
Lebih menarik, Taman Gurney Bay Fasa Satu turut menyediakan taman permainan yang menyediakan reka bentuk menarik lengkap berserta 1,500 batang pokok dan 10,000 pokok renek.
Fasa kedua Taman Gurney Bay pula dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.
Taman yang dibina di atas tanah seluas 29,99 hektar termasuk tanah rizab kerajaan negeri itu kini siap 40 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!