Penduduk daerah Muallim seimbang

Lebih 30 peratus daripada 1,000 penduduk Kampung Kuala Slim, Muallim terdiri daripada masyarakat tua. Gambar hiasan
Lebih 30 peratus daripada 1,000 penduduk Kampung Kuala Slim, Muallim terdiri daripada masyarakat tua. Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jumlah penduduk berusia 65 tahun dan ke atas dengan golongan muda disifatkan sebagai seimbang meskipun daerah Muallim dikenal pasti sebagai daerah menua.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Slim, Fitdaus Muhamad Arif berkata, lebih 30 peratus daripada 1,000 penduduk kawasan pentadbirannya terdiri daripada masyarakat tua.

“Kawasan kampung yang terletak berhampiran pekan menjadikan pola pendudukan di Kuala Slim adalah seimbang mengikut peringkat usia.

“Laporan Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang ditunjukkan itu mungkin akan berubah apabila daerah Muallim bakal membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

“Jadi ramai golongan muda akan berhijrah ke daerah ini untuk bekerja dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, peranan masyarakat tua tidak akan diabaikan apabila pihaknya berhasrat untuk mewujudkan pusat aktiviti warga emas.

“Pusat aktiviti yang lengkap fasiliti ini penting untuk memastikan golongan berkenaan kekal aktif dan produktif.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah Muallim untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ketua Blok 1, Peringkat 2, Felda Gunung Besout 2, Adnan Hassan, kebanyakan peneroka di kawasan itu terdiri dalam kalangan warga emas.

“Bagaimanapun ramai golongan belia dilihat kembali tinggal di sini selepas pandemik Covid-19, malah setiap Felda kita ada generasinya.

“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan cuma kalau menunggu dua hingga tiga jam ketika menerima rawatan di klinik kesihatan itu biasa kerana ketetapan waktu menerima rawatan termasuk golongan ibu dan kanak-kanak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!