Ikut sahaja kehendak kerajaan demi rakyat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin mendedahkan bahawa sudah menerima draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada pembangkang.

Dalam draf itu, dua daripada tujuh syarat utama iaitu sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R) digariskan kepada Ahli Parlimen PN untuk mendapatkan peruntukan.

Dua syarat utama yang dijelaskan Takiyuddin itu adalah tepat seperti dilaporkan akhbar ini pada 20 April lalu melalui sumber Kerajaan Perpaduan yang enggan namanya didedahkan iaitu pertama, jaminan blok pembangkang supaya tidak memainkan isu 3R atau melemparkan fitnah melampau terhadap kerajaan sepanjang baki penggal pentadbiran.

Sementara, syarat kedua penting ditawarkan kerajaan ialah pembangkang perlu memberi jaminan tiada sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan Madani menerusi ‘pintu belakang’ melainkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pada 9 Julai lalu, menyatakan bahawa isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sepatutnya tidak menjadi perkara yang rumit untuk diselesaikan.

Kata Anwar, syarat bagi mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang ingin mendapatkan peruntukan adalah keperluan asas dan prosedur standard dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Bagaimanapun Takiyuddin menjelaskan bahawa MoU berkenaan pelik sedikit kerana meletakkan tujuh syarat di mana yang menjadi perhatian adalah ahli Parlimen yang bukan sebahagian daripada pentadbiran perlu mengisytiharkan harta mereka.

Jika diamati syarat ini, tindakan mengisytiharkan harta adalah tindakan proaktif untuk mengelak penjawat jawatan mahupun ahli politik daripada 'disentuh' amalan rasuah dan salah laku.

Artikel Berkaitan:

Tindakan seperti ini sangat wajar kerana akan mencerminkan ketelusan sekali gus secara langsung meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap ahli Parlimen, biarpun setakat ini tiada undang-undang khusus berkaitan pengisytiharan harta. Rakyat juga dapat menilai setiap ahli Parlimen tidak akan sewenang-wenangnya meningkatkan kekayaan menerusi kedudukan yang mereka duduki pada hari ini.

Jadi tidak salah andainya ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta sebagai syarat untuk mendapatkan peruntukan kerana selain dapat membersihkan diri, akhirnya peruntukan itu akan menyenangkan rakyat di bawah pentadbiran mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!