Sungai Kelantan bukan jalan penyelesaian
SUNGAI Kelantan menjadi sumber bekalan air dan nadi kepada penduduk dalam meraih rezeki demi kelangsungan hidup.
Selari dengan kepesatan pembangunan dan kemodenan kini, beberapa jambatan merentangi sungai ini yang dibina sebagai penghubung antara satu daerah dengan yang lain.
Antara popular ialah Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Pasir Pekan, Tumpat ke Kota Bharu. Kedua ialah Jambatan Sultan Ismail Petra yang menghubungkan Pasir Mas ke Kota Bharu dan lebih dikenali sebagai Jambatan Tendong dalam kalangan masyarakat setempat.
Bagaimanapun sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, kedua-dua jambatan ini menjadi ‘sasaran’ golongan yang berdepan ujian hidup untuk menamatkan riwayat mereka.
Kejadian terjun Sungai Kelantan dari jambatan semakin menjadi-jadi apabila banyak kes direkodkan. Tahun ini, terdapat tiga kejadian dan ada yang terselamat namun terdapat juga mangsa yang ditemukan lemas.
Sejak 2021 hingga Ogos lalu, sebanyak 19 kejadian direkodkan di Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Tendong yang melibatkan pelbagai peringkat usia jantina dan kaum.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, daripada jumlah itu, 17 kes melibatkan mangsa ditemukan lemas selepas terjun dari jambatan ke Sungai Kelantan.
Antara lokasi paling banyak dilaporkan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, diikuti Jambatan Tendong serta Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu, Wakaf King (Tumpat) serta Tok Bali (Pasir Puteh).
Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana jarang berlaku sebelum ini namun mula menjadi kebiasaan sejak akhir-akhir ini.
Insiden demi insiden seolah-olah satu ‘amaran’ bahawa ada dalam kalangan masyarakat mempunyai tahap kesihatan mental yang semakin parah.
Masalah kesihatan mental yang dibiarkan tanpa rawatan akan menimbulkan pelbagai isu lain dan ia perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.
Perbuatan terjun dari jambatan juga merupakan cubaan membunuh diri yang dikaitkan dengan masalah mental kerana individu dilanda kemurungan tidak sama dengan individu yang mengalami kesedihan biasa.
Namun, kerajaan Kelantan dilihat tidak berdiam diri tetapi turut mengambil langkah dengan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
Papan tanda turut dipasang di sepanjang dua jambatan terbabit agar pelaku sempat membacanya dan mengubah fikiran sebelum melakukan tindakan tidak wajar.
Malah kerajaan Kelantan mewujudkan beberapa talian bantuan untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan mental.
Talian tersebut ialah Mawaddah Centre (MC), Mawaddah Support Team (MST), Penyelaras Pembangunan Armalah Dun (PPAD) dan para penghulu.
Berkesan atau sebaliknya, ia hanya boleh ditentukan apabila tiada lagi kes cubaan atau terjun dari jambatan dilaporkan selepas ini.
Kali terakhir kes sedemikian dilaporkan ialah pada 28 Julai lalu, melibatkan seorang wanita berusia 40-an namun dia sempat diselamatkan oleh orang awam yang melalui Jambatan Tendong semasa kejadian.
Diharap insiden ini akan menjadi yang terakhir dan masyarakat akan lebih peka serta prihatin terhadap persekitaran dan insan-insan tersayang.
Banyak cara boleh digunakan untuk mengelakkan perbuatan ini, namun ia bukan mudah kerana melibatkan perihal mental, jiwa dan perasaan individu terbabit. Bagaimanapun, jambatan dan Sungai Kelantan bukanlah jalan penyelesaiannya.
* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!