Hilang 'kompas' hidup

Langkah pertama untuk memerdekakan diri ialah bermula dengan pendidikan yang mampu melahirkan generasi berakhlak tinggi. Gambar hiasan
Langkah pertama untuk memerdekakan diri ialah bermula dengan pendidikan yang mampu melahirkan generasi berakhlak tinggi. Gambar hiasan
A
A
A

RAKYAT Malaysia dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum, agama dan peringkat umur menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat setiap tahun pada 31 Ogos.

Jelas kita dapat lihat Jalur Gemilang berkibar dengan megah di tiang yang disediakan pada sambutan kemerdekaan, itulah secara fizikal dapat dilihat.

Namun, di sebalik sambutan yang meriah itu, terdapat satu persoalan yang timbul, merdeka kah kita ini?

Sambutan tersebut bukan sekadar meraikan kemenangan pahlawan berpuluh tahun lalu yang membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan, namun ia juga bermaksud membebaskan diri sendiri dari segala bentuk penjajahan.

Apa maksud merdeka yang masyarakat faham? Adakah ia semata-mata untuk membebaskan negara daripada penjajahan?

Persoalan lain yang semakin relevan apabila kita melihat generasi muda.

Adakah kanak-kanak generasi kini mengetahui apakah maksud membebaskan negara daripada penjajahan?

Bagaimana kita sebagai rakyat lebih berumur ini hendak mengajar anak-anak memahami makna Merdeka sedangkan dalam fasa sekarang rakyat mula berasa takut untuk keluar seorang diri di tanah air yang tercinta?

Artikel Berkaitan:

Penulis menjelaskan bahawa keamanan di negara sendiri tidak datang bergolek, malah perlu diusahakan untuk setiap rakyat merasakan bebas di rumah sendiri.

Bagi penulis pula, kemerdekaan dari satu sudut yang mudah difahami adalah bebas daripada perhambaan, terikat dengan sesuatu, lepas daripada dikenakan hukuman, malah tidak bergantung nasib kepada orang lain.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kita sedari ada perkara yang paling ditakuti iaitu 'dijajah' di rumah sendiri.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan peristiwa seorang ibu dan bapa tiri didakwa mendera anak sulung yang berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia.

Selain itu, seorang wanita maut dipercayai ditikam dengan gunting oleh anaknya yang mempunyai masalah mental.

Begitu juga dengan beberapa pembunuhan kejam lain yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Jadi inilah sebahagian daripada masalah-masalah moral, kejiwaan dan hilang 'kompas' hidup.

Sebahagian kecil rakyat kita yang melakukan perbuatan itu benar-benar sudah hilang kewarasan dan kemanusiaan.

Inilah cabaran kita pada masa depan untuk memastikan rakyat hidup terus dalam keadaan aman dan damai.

Bagi penulis langkah pertama untuk memerdekakan diri ialah bermula dengan pendidikan yang mampu melahirkan generasi berakhlak tinggi.

Dengan menjiwai erti sebenar kemerdekaan, ialah dengan meletakkannya sepenuh jiwa dan raga dan melahirkan rakyat yang ada jati diri serta nilai murni yang tinggi.

Selain itu, isu kemiskinan, ketidakadilan dan perpecahan dalam masyarakat turut membangkitkan persoalan sama ada rakyat benar-benar menikmati sambutan yang dicanang ke seluruh negara?

Walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai sumber dan berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, jurang antara golongan kaya dan miskin semakin meluas.

Masyarakat diingatkan untuk mengambil iktibar dari sejarah dan memastikan nilai-nilai murni seperti perpaduan, kesopanan dan tolong-menolong terus menjadi asas kehidupan.

Bagi penulis, semangat kemerdekaan itu harus dirasai dalam diri setiap rakyat, bukan sekadar melalui sambutan semata-mata seperti yang kita impikan saban tahun.

Rakyat juga perlu tanya kepada diri masing-masing, adakah mereka sudah benar-benar bebas dalam erti kata yang sebenar?

Justeru, sambutan Hari Kemerdekaan yang ditunggu-tunggu itu seharusnya menjadi peluang untuk rakyat bermuhasabah dan memperbaharui semangat patriotisme dalam diri.

Bagi penulis, sambutan itu bukan hanya menghadiri perarakan tetapi juga untuk kita mula mengamalkan nilai-nilai kemerdekaan dalam kehidupan seharian.

* Qurratul'aina Quddus ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!