Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan bagi menangani pertindihan fungsi dan ketelanjuran dana negara dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekretariat itu akan terus bertindak serta-merta sebagai usaha kerajaan melakukan reformasi perkhidmatan awam.
"Saya telah putuskan ini untuk MoF mewakili kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemas kini rasionalisasi badan berkanun," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Selasa.
Tambah beliau, terlalu banyak pertindihan berlaku di badan berkanun dan GLC yang menjadi punca kepada keterlanjuran kewangan sehingga mendorong perbelanjaan tidak terkawal.
"Badan berkanun itu terlalu banyak bertindih dan ketelanjuran, belanjanya pun banyak," jelas Anwar.
Menurutnya, langkah reformasi itu turut terkait dengan semua lantikan termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah di badan-badan berkanun dan GLC bagi memastikan tatakelola pengurusan kewangan baik.
"Sesetengah mereka yang memegang jawatan itu menganggap kedudukan sebagai satu habuan dan pamer kemewahan, sedangkan ia adalah dari dana rakyat serta negara. Sebab itu, pemantauan harus lebih teliti.
“Apabila lantik pengerusi baharu, yang pertama dia akan pastikan (guna) kereta apa, pejabat diubah sedangkan pejabat itu sudah cantik.
“Pejabat Menteri Kewangan, saya kata tidak perlu tukar, tidak perlu pinda, ada dalam kalangan kita lupa, ini adalah amanah,” katanya.
Selain itu dalam pelan rasionalisasi itu, Anwar berkata, seseorang tidak wajar memegang terlalu banyak jawatan dalam organisasi.
"Mereka yang masuk haruslah diberi latihan dari segi pengurusan dan kewangan," katanya.
Tambah beliau, seorang pegawai MoF akan ditempatkan di badan berkanun dan GLC bagi memantau tatakelola dan pengurusan kewangan.
“Saya hendak bagi peringatan, kalau nampak ada kecelaruan, (pegawai MoF) itu akan diharamkan dari menduduki mana-mana lembaga selepas itu, jadi ada kebertanggungjawaban.
“Kalau tidak kita bagi arahan, keadaan (sama) akan terus berlaku,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!