Perkhidmatan awam perlu paradigma baharu, sedia tinggal legasi lama

Noor Azlan Ghazali
Noor Azlan Ghazali
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan awam memerlukan paradigma baharu dengan meninggalkan legasi yang telah lama menapak tanpa dinilai atau dipersoal.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, susulan itu kakitangan awam perlu bersedia memandangkan September menjadi titik permulaan menguji kesediaan untuk berubah.

Menurutnya, paradigma ‘Governing by Network’ bukan lagi sebagai tempelan ‘buat bagi ada’ tetapi menjadi keutamaan dalam pelaksanaan.

"Perkhidmatan awam seharusnya bersifat dinamik, bersesuaian dengan konteks dan tahap kemajuan negara. Ini kerana, cara ia berfungsi menentukan kejayaan sesebuah kerajaan.

"Sebagai contoh, masihkah kita perlu Rancangan Malaysia lima tahun, setelah 67 tahun kita merdeka, masih relevankah cara perancangan begini? Kita tidak boleh meneruskan sesuatu hanya kerana ia telah dibuat sebelum ini, jangan terperangkap dengan legasi," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat beberapa teguran berhubung proses reformasi perkhidmatan awam termasuk penggabungan agensi dan jabatan yang dilihat tidak memuaskan.

Malah Anwar turut menegur laporan ketua jabatan mengenai kecuaian dan pegawai yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Tambah Noor Azlan, masyarakat baharu ‘pasca-modenisasi’ bukan sahaja mempunyai sifat-sifat baharu yang khusus, malah hubungan dan harapan mereka terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam juga turut berubah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, survei Nilai Sejagat jelas menunjukkan ‘ketaatan’ masyarakat kepada kerajaan bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap mudah dan senang dicapai.

"Semakin tinggi tahap pendapatan rakyat, semakin rendah ‘utiliti’ yang diperoleh daripada mentaati arahan kerajaan. Hanya sekitar 53 peratus dari sampel survei yang menyatakan kesediaan mentaati kerajaan.

"Ini bukan penentangan politik tetapi konteks baharu yang diharapkan oleh rakyat dari kerajaan. Masyarakat baharu mempunyai pendidikan yang lebih baik, pendapatan lebih tinggi, cara hidup perbandaran dan suara muda yang lebih kuat.

"Mereka mahukan penglibatan, perkongsian, pilihan, delegasi dan keterbukaan,'' ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!