Tiga insiden mangsa terperangkap, tertimbus sejak dua bulan lalu
PUTRAJAYA - Sebanyak tiga insiden melibatkan empat mangsa terperangkap dan tertimbus yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak dua bulan lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tiga insiden itu dilaporkan berlaku di Jitra, Kedah; Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dan Gunung Tabai Bau, Sarawak.
"Insiden pertama, dua lelaki ditemukan maut setelah terperangkap di dalam lubang pembetung di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, Jitra pada 30 Julai lalu.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam mengatakan ada mangsa terperangkap dalam lubang sedalam 4.5 meter pada jam 9.29 pagi," katanya.
Nor Hisham berkata, pihak bomba kemudiannya menggunakan alat pengesan gas bagi memastikan kewujudan gas tertentu di lokasi tersebut.
"Seterusnya anggota kami lengkap memakai peralatan perlidungan diri (PPE) serta peralatan telah turun ke dalam pembetung tersebut dan berjaya membawa naik mayat kedua-dua mangsa," katanya.
Beliau berkata, insiden kedua pula, seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang dalam tanah jerlus semasa berjalan kaki di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kesembilan ditamatkan serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak," ujarnya.
Nor Hisham berkata, insiden terakhir melibatkan seorang lelaki Indonesia yang tertimbus ketika melombong emas di dalam Gunung Tabai pada 24 Ogos lalu.
"Mayat Yoga Anggiska, 26, dijumpai pada kedalaman 90 meter di dalam lubang gua gunung berkenaan kira-kira jam 4 petang, 29 Ogos lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!