[VIDEO] Jangan gerun pada mana-mana nama - Anwar

A
A
A

PUTRAJAYA - Pegawai dan kakitangan kerajaan diingatkan agar tidak gerun dengan mana-mana pihak termasuk individu yang mempunyai gelaran dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mempertahankan pegawai dan kakitangan selagi mereka memegang amanah dan tanggungjawab dengan baik.

Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Bulan September di Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Bulan September di Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama

“Saya memberi jaminan baik kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jalankan tugas saudara dengan profesional.

"Kalau ada rayuan munasabah, berikan pertimbangan mengikut proses tapi jangan gerun dengan mana-mana nama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar berkata, negara tidak akan maju dan makmur jika kelompok elit yang dilimpahi dengan kekayaan mengelak daripada membayar cukai.

Artikel Berkaitan:

"Kalau orang kaya dapat limpahan begitu banyak, bersekongkol dengan kelompok elit untuk elak membayar cukai, jadi itu mendera rakyat," kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengimbau pengalamannya mempertahankan pegawai muda melaksanakan tugas sewaktu memegang jawatan sama suatu ketika dahulu.

"Ada seorang pegawai kewangan junior hadir, tapi menegur pengerusi, mantan timbalan menteri (bergelar Datuk) yang senior kerana cadangan itu melanggar peraturan Kementerian Kewangan.

“Datuk itu terus meluru ke pejabat Menteri Kewangan mengemukakan bantahan dan mengatakan pegawai itu hendak mengajar, dan membantah.

“Saya kata tidak mengapa. Saya minta laporan, panggil pegawai terbabit dan dia bagi laporan. Pada ketika itu, saya buat keputusan menyokong tindakan pegawai muda itu kerana melaporkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!