[VIDEO] Penoreh getah mengaku cederakan warga emas guna parang
TAIPING - Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki menggunakan parang, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Suhardi Din, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Omar Besar, 68, menggunakan sebilah parang yang mana jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda Temenggor, Gerik, sekitar jam 3.20 petang pada 27 Ogos lalu.
Muhammad Suhardi didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni memohon tertuduh untuk dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
"Semasa siasatan kemungkinan tertuduh berada di bawah pengaruh dadah dan status kesihatan mentalnya tidak berapa sihat," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu supaya tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk untuk pemeriksaan mental dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Media melaporkan seorang nelayan darat berusia 68 tahun parah ditetak seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Ganda di Gerik.
Suspek yang mengenali mangsa dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menyerang dan mengakibatkan mangsa mengalami luka dan patah tulang lengan kiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!