Sokong Manchester United, Anwar kena 'bahan' dengan cucu
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau menjadi bahan jenaka cucunya kerana menyokong pasukan Manchester United (Man U).
Jelasnya, perkara itu berlaku ketika perbualan santai bersama keluarga.
"Saya memang dari dahulu lagi penyokong Man U. Jadi cucu cakap, 'Papa tok kuno, sudah menjadi sejarah.
"Saya cakap, tidak kerana saya tidak lagi mampu untuk tukar lagi," katanya di dalam Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Tambah beliau,dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) cucunya merupakan penyokong Arsenal.
"Setiap kali cucu saya datang dia kata, Man U kalah lagi papa tok.
"Maknanya minat kepada sukan khususnya bola sepak itu menyeluruh, rentas generasi," katanya.
Ahad lalu, Manchester United tewas buat kali kedua dalam tempoh sembilan hari apabila dibelasah 0-3 di laman sendiri oleh seteru utama, Liverpool.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!