Monsun Timur Laut: Selangor buat pelepasan air empangan elak risiko banjir

Pelepasan air secara optimum di tujuh empangan di Selangor dilakukan pada 16 Ogos lalu.
Pelepasan air secara optimum di tujuh empangan di Selangor dilakukan pada 16 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memulakan strategi pengurangan kapasiti simpanan air empangan melalui pelepasan air secara optimum sebagai kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November depan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pelepasan air secara optimum di tujuh empangan negeri ini dilakukan pada 16 Ogos lalu.

Menurut beliau, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab melepaskan air empangan bagi tujuan pengurangan kapasiti simpanan air pada tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

"Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini merupakan inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang mencukupi bagi kesemua empangan untuk tujuan kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan tinggi.

"Tindakan ini sekali gus mengelakkan limpahan air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Izham berkata, kawalan pelepasan air empangan akan dikaji semula berdasarkan kepada perubahan cuaca yang dijangka bermula 1 Oktober depan dengan tidak melebihi simpanan 95 peratus bagi semua empangan kecuali Empangan Klang Gates pada tahap kapasiti 90 peratus sebelum 15 Disember ini.

Beliau memberitahu, LUAS mendapati berlaku peningkatan empat peratus kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates berikutan hujan lebat pada 12 Ogos lalu dengan jumlah 75 milimeter (mm) di kawasan tadahan empangan itu berdasarkan rekod pemantauan sistem pemantauan kapasiti semasa empangan (IWRIMS).

"Namun tiada berlaku sebarang limpahan dari empangan tersebut susulan ruang yang masih mencukupi untuk menampung kadar hujan luar biasa pada masa ini," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Izham memberitahu, sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan terlibat dengan mengambil kira trend paras air sungai semasa serta ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras air sungai menunjukkan tren meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir.

Orang awam digalakkan untuk merujuk maklumat status empangan Negeri Selangor secara harian di laman sesawang IWRIMS LUAS di https://iwrims.luas.gov.my.

Selain itu, mereka juga boleh melayari laman sesawang pihak JPS di https://publicinfobanjir.water.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!