Tukar sisa organik kepada biogas, alternatif baharu bahan api
PUTRAJAYA - Sisa organik atau lebihan makanan terhasil daripada isi rumah boleh dijadikan pengganti bahan api dapur, pencahayaan dan penjanaan elektrik yang dinamakan sebagai biogas oleh Alam Flora Environmental Solution Sdn Bhd (AFES), anak syarikat Alam Flora di bawah Kumpulan Malakoff Corporation Berhad.
Pengurus Projek Pengurusan AFES, Ismi Azura Istear Khan berkata, biogas merupakan sumber tenaga baharu yang dihasilkan melalui proses pencernaan sisa termasuk najis haiwan, sisa agrikultur dan kumbahan dalam keadaan anaerobik.
Menurut beliau, proses itu terjadi melalui tindak balas bakteria dan mikroorganisma lain tanpa kehadiran oksigen.
“Komponen utama biogas adalah metana (CH4) dan karbon dioksida (COz). Kebiasaannya, biogas boleh digunakan sebagai bahan api untuk memasak, pemanasan, pencahayaan serta penjanaan elektrik.
“la dianggap sebagai sumber tenaga yang mampan kerana mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera dan mengelakkan sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“Kualitinya bergantung kepada jenis sisa organik yang diproses. Fasiliti biogas juga perlu melihat dari aspek pengurusan sisa yang mampan, bukan hanya dengan menerima bahan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ismi Azura memaklumkan, tempoh pengeluaran biogas bergantung kepada beberapa faktor iaitu jenis bahan mentah, reka bentuk dan saiz sistem biogas serta parameter tertentu dalam tangki pencernaan.
Tambah beliau lagi, sebelum proses memasukkan sisa ke dalam sistem pencernaan anaerobik, proses pengasingan akan dibuat yang mana sisa bukan organik seperti plastik atau besi dikeluarkan daripada komposisi yang bakal diproses.
Bagaimanapun, jelas beliau, ia lebih ketara di peringkat permulaan sahaja dan apabila keadaan operasi yang optimum dapat dicapai atau bekalan organik diterima dengan konsisten, biogas akan terhasil secara berterusan.
“Faktor seperti suhu, nilai pH dan nisbah karbon kepada nitrogen dalam tangki pencernaan juga memainkan peranan dalam menentukan isipadu, kualiti serta kuantiti penghasilan biogas.
“Mengikut pengalaman kami yang melaksanakan projek rintis sebelum ini, sistem berkapasiti 500 kilogram (kg) sehari mampu menghasilkan sekitar 35 meter padu bahan api itu.
“Jumlah ini boleh menjana tenaga elektrik yang berupaya menghidupkan mesin di kawasan operasi pengasingan barangan kitar semula kami empat jam dalam sehari,” ujarnya.
Ditanya lebih lanjut mengenai usaha Alam Flora bagi memastikan projek biogas mendapat perhatian umum, Ismi Azura berkata, pihaknya konsisten melaksanakan kempen kesedaran tentang kepentingan biogas terutamanya dari aspek pengurusan sisa menerusi program lawatan orang awam ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) Putrajaya atau hebahan media sosial.
Jelasnya lagi, FIKS di bawah Alam Flora menjadi hab utama dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pelbagai organisasi, jabatan, syarikat, sekolah, komuniti serta lain-lain.
“Sebahagian komponen FIKS iaitu Integrated Recycling Facility (IRF) turut mempunyai fasiliti pencernaan anaerobik berteknologi tinggi namun dibuat secara berskala kecil.
“Hal ini disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan infrastruktur bagi kutipan sisa makanan dan kesesuaian teknologi yang digunakan berdasarkan komposisi sisa berkenaan.
“Justeru, sokongan kerajaan amatlah digalakkan dengan melibatkan pihak pengurusan sisa pepejal sama ada dari segi penyediaan tapak infrastruktur atau penguatkuasaan undang-undang,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!