Polis Pahang lupus dadah bernilai lebih RM500,000

Yahaya (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang akan dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah bagi kes-kes yang telah selesai dan tempoh rayuan hukuman terhadap pesalah telah tamat.
Yahaya (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang akan dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah bagi kes-kes yang telah selesai dan tempoh rayuan hukuman terhadap pesalah telah tamat.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM535,009 yang dirampas sejak 2011 hingga tahun ini.

Barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang itu akan dilupuskan kontraktor bertauliah di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Pelanduk, Melaka pada Rabu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, barang kes yang dimusnahkan itu terdiri 12 jenis dadah termasuk heroin (8.46 kg) methamphetamine (22.04 kg), ganja (1.46 kg), ketamin (237.92 gram), nimetazepam (60.16 gram), yaba (149.19 gram), estasy (56.06 gram) dan pil psikotropik (0.10 gram).

Menurutnya, turut dilupuskan daun ketum (70.016 kg), air ketum (4,840.85 liter) dan lain-lain dadah termasuk kodein (310.69 liter) mannitol,methylenedioxymethamphetamine serta etizolam (190.17 liter dan 127.57 gram).

"Rampasan dadah ini dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah bagi kes-kes yang telah selesai dan tempoh rayuan hukuman terhadap pesalah telah tamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelupusan barang kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Yahaya berkata, pelupusan barang kes dadah itu adalah yang pertama bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!