Penolong pengurus rugi RM30,000 ditipu pegawai polis palsu

Seorang penolong pengurus syarikat kerugian RM30,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.Gambar hiasan (Gambar kecil: Goo Chang Hook)
Seorang penolong pengurus syarikat kerugian RM30,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.Gambar hiasan (Gambar kecil: Goo Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL - Seorang penolong pengurus syarikat kerugian RM30,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 8.50 pagi 27 Ogos lalu semasa mangsa iaitu wanita berusia 44 tahun berada di rumahnya di Gemencheh.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Norazlan mendakwa daripada Kementerian Komunikasi Putrajaya.

"Norazlan memaklumkan nombor telefon pengadu disekat kerana terlibat dengan beberapa kes jenayah sebelum disambungkan kepada panggilan 999 dan dijawab oleh Sarjan Ain dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan untuk buat pengesahan berkaitan kes ini.

"Pengadu percaya talian 999 itu adalah daripada pihak polis dan Sarjan Ain telah membuat semakan di Bukit Aman berkaitan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Chang Hook berkata, seterusnya pengadu menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai Inspektor Nazlan dan setelah membuat semakan mendapati pengadu didakwa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram.

"Pengadu juga didakwa terlibat dengan kes dadah bersama seorang lelaki bernama Lai Peng Keong dan penjualan kad mesin pengeluaran wang (ATM) bank kepada lelaki tersebut berjumlah RM20,000 dengan menerima komisen bulanan.

"Pada jam lebih kurang 2.18 petang pula, pengadu menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Superintenden Datuk Azmi dari Bahagian Siasatan Jenayah IPK Kelantan yang memaklumkan kes pengadu dapat diselesaikan.

"Mangsa diminta memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia dan mengisi maklumat yang diperlukan seterusnya dimaklumkan kes akan disiasat oleh juruaudit daripada Bank Negara Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, wanita berkenaan percaya lalu mengisi butiran peribadi, nombor akaun termasuk nombor pin menerusi link yang diberi oleh pemanggil tersebut.

"Bagaimanapun selepas itu, pengadu berasa curiga lalu membuat semakan ke atas akaun banknya dan mendapati duit sebanyak RM30,000 telah dipindahkan ke dalam akaun yang tidak dikenali.

"Pengadu rasa diri ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Hasil siasatan awal mendapati pengadu telah terpedaya dalam panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!