Budak 3 tahun derita ekzema

Nur Fatin Izani menunjukkan keadaan anaknya Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.
Nur Fatin Izani menunjukkan keadaan anaknya Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun di Taman Damai, dekat sini menderita ekzema di seluruh badan dan terpaksa bergantung kepada krim pelembap bagi mengelakkan kulitnya kering.

Nur Salsabila Abdul Malik lahir dalam keadaan normal namun kelopak garam yang timbul di seluruh tubuhnya selepas Hari Raya Aidiladha tahun lalu mengubah rutin harian hidupnya.

Ibunya, Nur Fatin Izani Mohd Izani, 23, berkata, penyakit kulit yang dihidapi anak keempat daripada lima beradik itu kini berada di tahap keenam dan perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, anaknya akan merengek menahan kesakitan setiap kali disapu krim dan ubat.

"Anak saya menghidap penyakit ini sejak hari raya haji lalu, ketika itu timbul macam kelopak garam di seluruh badannya. Kami bawa ke klinik pakar kulit swasta di Pokok Sena dan dikenakan bayaran sekitar RM180.

"Bila guna ubat klinik swasta itu nampak jadi elok dan kering tapi kami tidak mampu dan hanya pergi dua kali sahaja, kemudian kami rujuk pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pula.

Rukiza (kiri) melihat keadaan adik Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.
Rukiza (kiri) melihat keadaan adik Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.

Artikel Berkaitan:

"Suami (Abdul Malik Mansor, 38) hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan gaji sekitar RM1,100. Kami tidak mampu untuk berjumpa dengan pakar kulit swasta untuk merawat Nur Salsabila setiap bulan. Lagipun tiga lagi anak kami masih bersekolah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya hari ini.

Nasib Nur Salsabila mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar yang hadir menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada kanak-kanak tersebut.

Nur Fatin Izani berkata, keadaan anaknya itu bertambah teruk pada bulan lalu sehingga pakar di HSB meminta Nur Salsabila memakai pakaian khas yang dibekalkan pihaknya bagi mengawal penyakitnya.

"Kali ini naik di muka macam biji-biji nanah, di lutut dan di siku. Jadi gatal-gatal, bila garu makin lama makin banyak. Dia garu sampai berdarah," katanya.

Katanya, bagi mengelakkan keadaan menjadi teruk, dia tidak membenarkan anaknya bermain di luar rumah sejak awal tahun lalu.

Rukiza (kiri) melihat keadaan adik Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.
Rukiza (kiri) melihat keadaan adik Nur Salsabila yang menghidap penyakit ekzema.

"Mujur dia seorang kanak-kanak yang aktif dan doktor tidak tahan di wad. Namun kami perlu rujuk di HSB setiap dua minggu kerana pakar mahu lihat perkembangan penyakitnya dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi mereka yang mahu membantu adik Nur Salsabila boleh menghubungi Nur Fatin Izani di talian 01164479291 atau WhatsApp 011-55661301 untuk sebarang pertanyaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!