UIAM ambil tindakan, beri peringatan lebih hati-hati dalam perkongsian

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung video tular membabitkan kenyataan mengelirukan daripada seorang pensyarah di media sosial baru-baru ini.

UIAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah memberi peringatan kepada pensyarah tersebut supaya lebih berhati-hati dalam perkongsian beliau kepada masyarakat umum pada masa akan datang.

“UIAM juga secara amnya sentiasa menegaskan bahawa pandangan ahli-ahli akademik dalam universiti ini perlu diselaraskan dengan standard yang telah ditetapkan Jawatankuasa Integriti Akademik universiti ini.

“Namun begitu, universiti tidak pernah menghalang kebebasan akademik dan sentiasa menyokong program-program percambahan ilmu,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, tular sebuah video berhubung dakwaan bahawa isteri Nabi Muhammad SAW, Sayidatina Siti Khadijah Khuwailid RA berasal dari alam Melayu.

Kenyataan media UIAM pada Selasa.
Kenyataan media UIAM pada Selasa.

Pada Ahad, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Solehah Yaacob menegaskan beliau tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari alam Melayu seperti yang ditularkan.

Beliau berkata, sebaliknya terdapat individu yang memotong sebahagian video ceramahnya sehingga menyebabkan ia disalah erti dan menjadi tular.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, pihak universiti sentiasa memperingatkan ahli akademiknya akan tanggungjawab mereka untuk memberikan hujahan yang berasaskan fakta yang jelas.

Menurut kenyataan itu, ia juga perlu disokong oleh kajian dalam jurnal penyelidikan dan diiktiraf mengikut prinsip kesarjanaan dalam bidang masing-masing.

“Ini penting bagi memastikan dunia akademia terus dihormati dan diiktiraf atas ketinggian ilmu dan integriti ahli-ahli akademiknya.

“UIAM komited untuk terus memastikan mutu dan kualiti pendidikan serta kesarjanaan di kalangan ahli akademik terpelihara.

“Kami percaya bahawa tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik dan berfakta,” kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!