[VIDEO] 'Ahmad Zahid perlu dicutikan agar siasatan bebas, adil' - Tun Faisal

A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan supaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberi cuti sepanjang siasatan berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah bertujuan bagi memastikan ia dilakukan secara bebas, adil dan telus tanpa sebarang gangguan.

Tun Faisal
Tun Faisal

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ini kerana kedudukan Ahmad Zahid sebagai nombor dua berkuasa dalam negara dikhuatiri menimbulkan rasa bersalah pasukan polis dalam menjalankan siasatan.

"Dr Akmal (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) buat lawak lobak ke ni? Agak-agak kalau mahu keluarkan kenyataan, jangan malukan ramai pemegang gelaran doktor di luar sana.

"Kenapa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man cadangkan supaya siasatan dapat dilakukan secara bebas, adil dan telus tanpa sebarang gangguan dan rasa bersalah pasukan polis kerana yang disiasat ini adalah Timbalan Perdana Menteri.

"Sedangkan Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Perlis tidak berkuasa untuk menganggu siasatan. Malah status mereka sebagai Menteri Besar pembangkang menghalalkan mereka 'dicabul' dan diheret pada jam 3 pagi," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO menempelak kenyataan Tuan Ibrahim yang mahukan Ahmad Zahid dicutikan bagi memberi laluan kepada siasatan dibuat sehingga selesai.

Beliau berkata, cadangan pemimpin tertinggi Pas itu sepatutnya diutarakan kepada ahli Pas dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, bukannya parti lawan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Tun Faizal, di Thailand, Mahkamah Perlembagaan negara itu boleh melucutkan jawatan Perdana Menteri kerana melantik bekas banduan dalam kabinetnya.

"Di Malaysia, Perdana Menteri sendiri adalah bekas banduan penjenayah liwat dan rasuah salah guna kuasa serta masih ada kes serangan seksual ke atas seorang lelaki yang masih berjalan.

"Manakala di Singapura dan Indonesia, mereka yang terpalit dan disiasat atas kesalahan rasuah diminta bercuti serta digugurkan dari menjadi anggota kabinet," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!