Suri rumah mengaku tak bersalah terima deposit RM23,000 tanpa lesen sah

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah. Gambar hiasan
Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa terhadap pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah dalam akaunnya berjumlah RM23,000 tahun lepas.

Nurmaisarah Azman, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Mahmood di sini 15 Julai hingga 14 Ogos tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta yang sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Nabila Mohd Noordin.

Ahmad Faiz Fitri memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan sebarang jaminan, manakala Nabila meminta agar anak guamnnya dikenakan jaminan yang minimum memandangkan dia mempunyai empat anak dan tiada risiko untuk melarikan diri kerana menetap di Kelantan.

Hakim Zulkifli Abllah kemudiannya menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu mematuhi syarat ditetapkan termasuk melapor diri di balai polis berdekatan, dan menetapkan 3 Okt depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!