Liek Hou bukti Malaysia miliki atlet bertaraf dunia - Ahmad Zahid
KEJAYAAN jaguh badminton para, Cheah Liek Hou menyumbang pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 membuktikan bahawa Malaysia memiliki atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman Facebook berkata, pencapaian itu sekali gus mengulangi kejayaan atlet itu merangkul emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Tahniah saya ucapkan kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou atas kejayaan meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024.
"Syabas Cheah Liek Hou! Anda adalah inspirasi kepada kita semua. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat buat semua kontinjen negara yang sedang berjuang di Paris. Doa kami rakyat Malaysia bersama anda!” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi laman Facebook turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah dan menyifatkan kemenangan pemain berusia 36 tahun itu merupakan hadiah bermakna sempena Hari Kebangsaan ke-67 dan sambutan Bulan Kebangsaan 2024.
"Syabas dan tahniah Cheah Liek Hou menang pingat emas pertama Malaysia di #Paralimpik2024 #ParalimpikParis.
"Kemenangan jaguh badminton para negara memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 itu adalah hadiah bermakna sempena Hari Kebangsaan Ke-67 dan sambutan Bulan Kebangsaan 2024,” katanya.
Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) setelah menewaskan wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!