Lebih setahun guna gelaran Datuk palsu
KUANTAN - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung seorang ahli bersekutu sebuah pertubuhan yang didakwa menyalahgunakan gelaran Datuk palsu dari Pahang dipercayai untuk mendapatkan jawatan dalam pertubuhan terbabit.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu menggunakan gelaran tersebut sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, pihaknya sedang mendapat pengesahan terhadap dakwaan mengatakan lelaki terbabit menggunakan gelaran tersebut untuk mempengaruhi ahli bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam pertubuhan itu.
"Pihak polis akan mendapat keterangan dan pengesahan daripada beberapa pihak sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan individu itu untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri mengesahkan darjah kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk itu tidak pernah dikurniakan kepada individu terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, kertas siasatan kes itu di buka di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan tertentu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!