Tun M kagum pengurusan bandar Putrajaya

Tun M (gambar kecil) mengakui tiada mana-mana bandar di dunia yang pernah dikunjunginya dapat menandingi keindahan dan susunan atur pembangunan di Putrajaya.
Tun M (gambar kecil) mengakui tiada mana-mana bandar di dunia yang pernah dikunjunginya dapat menandingi keindahan dan susunan atur pembangunan di Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kagum dan bangga dengan keindahan ibu negara pentadbiran Malaysia iaitu Putrajaya yang berdiri megah dengan landskap teratur.

Menurutnya, sejak pelancaran pada 1995 bandar terancang itu telah matang, pertumbuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya sangat luar biasa.

"Tetapi apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia ialah keindahan bandar itu. Ia benar-benar sebuah bandar taman. Jalan-jalan dipenuhi dengan bunga-bunga pagar yang dipangkas indah.

"Pokok-pokok rendang memenuhi jalan raya. Taman dijaga dengan baik dan berlandskap. Pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dan menghargai keindahan.

"Bangunan-bangunan yang melapisi boulevard tengah itu mengagumkan. Malah medan selera juga direka dan diselenggara dengan baik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui tiada mana-mana bandar di dunia yang pernah dikunjunginya dapat menandingi keindahan dan susunan atur pembangunan di Putrajaya.

Dr Mahathir juga memuji 'penjaga' Putrajaya kerana memelihara dan memulihara bandar dalam taman itu.

"Saya melihat banyak ibu kota dan bandar di banyak negara. Namun tiada yang dapat menandingi Putrajaya dari segi kecantikan dan keteraturannya.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah diucapkan kepada pentadbir Putrajaya. Anda telah melakukan kerja yang hebat," katanya.

Wilayah Persekutuan Putrajaya diurus Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang ditubuhkan di bawah Perbadanan Putrajaya 1995 bagi mengurus dan mentadbir pusat pentadbiran negara berkenaan.

PPJ juga diamanahkan dengan fungsi pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa perancang tempatan dengan pelbagai pesanan dan pemberitahuan, iaitu Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pengubahsuaian Akta Kerajaan Tempatan 1976) 2002, Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pengubahsuaian Jalan, Saliran dan Bangunan 1974) dan Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pengubahsuaian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!