Saksi diarah ambil gambar di rumah Ebit Lew

Ebit Lew diiringi barisan peguamnya ketika hadir ke Mahkamah Tenom.
Ebit Lew diiringi barisan peguamnya ketika hadir ke Mahkamah Tenom.
A
A
A

TENOM - Pihak pendakwaan dalam kes Ebit Lew menampilkan dua saksi baharu untuk memberi keterangan di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Selasa.

Saksi pendakwaan ke-10 dan ke-11 merupakan anggota polis yang diarahkan mengambil gambar dalam kes melibatkan pendakwah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin dalam pemeriksaan utamanya meminta saksi ke-10, Koperal Shahrul Sanudin membuat pengecaman terhadap 35 keping gambar yang diambilnya dari sebuah rumah seperti yang diarahkan pegawai penyiasat kes tersebut.

Shahrul kemudian menjelaskan kesemua gambar tersebut secara satu persatu iaitu termasuk gambar hadapan rumah, pintu depan rumah, ruang tamu, pintu utama di tingkat atas, bilik, katil, dan bil elektrik.

Saksi kemudian dirujuk kepada barang kes fizikal iaitu telefon bimbit milik suspek untuk pengecaman adakah sama dengan gambar yang diambilnya.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Ram Singh, saksi ditanya adakah dia diarahkan mengambil gambar di lokasi kejadian iaitu di Tenom.

Namun saksi memberitahu kepada mahkamah bahawa gambar itu diarahkan diambil di Shah Alam, Selangor dan dia tidak ke Tenom.

Saksi ke rumah suspek bersama pegawai D11 Bukit Aman dan Pasukan Forensik Bukit Aman, namun dia hanya mengetahui mengenai tugasnya sahaja untuk mengambil gambar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, saksi ke-11, Koperal Husnni Haris Ramli @ Fauzi dalam keterangannya menerusi pemeriksaan utama di mahkamah diminta untuk membuat pengecaman tiga keping gambar yang diambilnya iaitu telefon bimbit, kad sim dan kad memori yang dirujuk kepadanya.

Dalam pemeriksaan balas oleh Ram, saksi memberitahu mahkamah dia bersetuju bahawa dia diarahkan untuk mengambil gambar pada jam 5.34 petang bertarikh 7 Ogos 2021.

"Ya saya telah terima arahan daripada DSP (Deputi Superintenden) Noor Asyikin (pegawai penyiasat)," kata saksi tersebut.

Namun dalam keterangannya juga berkata, dia hanya datang untuk merakam gambar dan tidak mengusik telefon tersebut.

Sebelum ini, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Analia dan Zahida Zakaria manakala Ebit Lew diwakili Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!