Seremban antara daerah tertinggi kes tipu dalam talian
SEREMBAN - Seremban merupakan daerah keenam tertinggi di negara ini bagi jumlah kertas siasatan yang dibuka membabitkan kes penipuan dalam talian sejak Januari hingga Ogos lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 701 kes direkodkan manakala Nilai berada di kedudukan ke-15 dengan 434 kes.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 1,710 kes melibatkan penipuan secara dalam talian di negeri ini dengan nilai kerugian direkodkan sebanyak RM 47.1 juta dalam tempoh sama tahun ini.
"Pada tahun lalu, sebanyak 2,024 kes penipuan melibatkan kerugian RM40.9 juta direkodkan.
"Data ini jelas menunjukkan sedikit penurunan 18.4 peratus, namun peningkatan dari segi nilai kerugian sebanyak RM6.2 juta," katanya ketika berucap pada Program Townhall Discussion 'Cybercrime Threat' Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Selasa.
Beliau berkata, berfikiran secara logik dan rasional apabila berhadapan dengan situasi penipuan atas talian antara panduan yang perlu diamalkan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dan terburu-buru dengan apa jua tawaran lumayan di dalam media sosial.
"Sentiasa mengambil tahu prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang berkaitan dengan transaksi atau urusan-urusan bank atau urus niaga atas talian.
"Pihak berkuasa tidak akan berurusan dalam talian dan ini adalah SOP-SOP bagi semua agensi penguat kuasa dalam negara ini," katanya.
Ujarnya, setiap orang perlu sentiasa mengamalkan sikap semak dan tanya pada setiap perkara atau urusan yang kita kurang pasti.
Sementara itu berkenaan program diadakan, Ahmad Dzaffir berkata, penganjuran program adalah bertujuan mempertingkatkan kesedaran serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang modus operandi dan trend terkini jenayah scam.
Ujarnya, penipu dalam erti kata lain akan menggunakan taktik memanipulasi piskologi yang membuatkan seseorang itu merasa terdesak atau cemas bagi tujuan memerangkap.
"Oleh itu kita perlu sentiasa peka dan berwaspada, tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej yang mencurigakan.
"Pada masa sama mengesahkan maklumat dengan pihak berwajib sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!