Dua anggota polis didakwa ambil sogokan dirakam keterangan
PETALING JAYA - Dua anggota polis dirakam keterangan berhubung dakwaan menahan serta mengambil sogokan daripada warga asing menerusi satu video tular dalam aplikasi Telegram pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kedua-dua anggota yang tular menerusi video terbabit sudah dipanggil untuk rakaman percakapan.
"Siasatan dalaman masih dijalankan secara lanjut berkaitan kejadian terbabit.
"Polis juga sedang mengesan dua lelaki warga asing yang didakwa ditahan kedua-dua anggota polis berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Shahrulnizam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan kejadian terbabit.
"Polis sama sekali tidak melindungi mana-mana anggota yang terlibat dalam salah laku serta perbuatan jenayah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tular video dalam aplikasi Telegram memaparkan dua anggota polis didakwa menahan dua individu dipercayai warga asing.
Menerusi hantaran video terbabit juga kedua-dua anggota polis itu turut didakwa mengambil sogokan daripada warga asing berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!