Penganggur didakwa miliki senjata berbahaya
KANGAR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas lima pertuduhan memiliki senjata berbahaya, sepucuk pistol tiruan serta komponen senjata api dan peluru tanpa kebenaran pada Julai lepas.
Tan Ying Hao, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norsalha Hamzah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama Ying Hao didapati memiliki senjata berbahaya berupa dua pedang berukuran 77cm dan 61cm tanpa kebenaran, dan didakwa mengikut Seskyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa memiliki senjata tiruan iaitu sepucuk pistol tertera tulisan We Wet 5168 warna hitam tanpa kebenaran sah dan dituduh di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206), yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ying Hao juga didakwa memiliki enam komponen senjata api jenis AR-15 iaitu satu unit lower receiver, dua unit komponen barrel, satu unit komponen lower handguard, satu unit komponen upper handguard dan satu unit komponen front sight base tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Bagi pertuduhan keempat dia didakwa memiliki dua komponen senjata api jenis M-16 seperti satu unit komponen magazine dan satu unit lower receiver tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Untuk pertuduhan kelima Ying Hao didakwa memiliki 10 butir peluru tertera tulisan A-USA 45 Auto warna perak, 14 butir peluru tertera tulisan A-USA 9MM Luger warna perak, lima butir peluru tertera tulisan RAI 11 38SPL warna perak, sebutir peluru tertera tulisan PS83.07 5.56 warna emas, sebutir peluru tertera tulisan CJ94 warna emas dan sebutir peluru tertera tulisan RS08 warna emas tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Untuk ketiga-tiga kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di sini pada jam 12.40 tengah malam 15 Julai lepas.
Norsalha tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan dia juga masih mempunyai satu kes lain yang belum selesai di Mahkamah Alor Setar sebelum sebelum menetapkan 11 Oktober nanti untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Poh Yi Tying manakala Ying Hao diwakili Peguam Widyaevasari Mohd Kanifiah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!