Pencemaran bau kimia: Penduduk dakwa alami pening, loya
JOHOR BAHRU - Penduduk di Kampung Melayu Pandan di sini, mendakwa mengalami pening dan loya disebabkan pencemaran bau sejak awal pagi Selasa.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan, Mohd Fauzi Mohamad berkata, seawal jam 4.30 pagi penduduk sudah memaklumkan mengenai bau yang tidak menyenangkan itu.
Menurutnya, sepanjang 50 tahun menetap di kampung yang terletak di kawasan bandar raya Johor Bahru, insiden pencemaran ini merupakan kali pertama berlaku.
"Pada jam 7.30 pagi, saya tengok keadaan sungai air surut tetapi warnanya tidak pernah seumur hidup saya lihat, warna hitam berkeladak dan berminyak.
"Baunya busuk menyengat, siapa yang bau lama akan rasa tekak kering. Penduduk kampung ada tanya mengenai bau ini, saya beritahu Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan Jabatan Alam Sekitar sedang lakukan pemeriksaan.
"Bagaimanapun sekitar jam 10 pagi, bau sudah kurang disebabkan air sungai pasang," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Penduduk Kampung Melayu Pandan, Muhammad Mirzal Abdul Hashim, 42, berkata, pencemaran bau itu disedari pada jam 4.30 pagi ketika mahu bersiap-siap pergi berniaga sarapan pagi.
“Saya terbau yang tidak menyenangkan ketika itu sebelum menghubungi talian 999 dan disambungkan kepada pihak bomba untuk memaklumkan kejadian itu.
“Bomba kemudiannya datang untuk melakukan siasatan. Bau macam bau minyak pun ada dan bau gas pun ada tapi memang tidak menyenangkan,” katanya.
Muhammad berkata, dia mengambil keputusan tidak berniaga kerana bimbang dengan risiko pencemaran bau tersebut.
Sebelum ini, tiga kawasan di Johor Bahru dikesan terjejas dengan pencemaran kimia melibatkan Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa pada awal pagi Selasa.
Penduduk Taman Istimewa, Muhammad Jaafar, 66, mendakwa, terhidu bau busuk pada jam 12 tengah malam sehingga 4 Selasa.
Pesara guru itu yang tinggal kira-kira 300 meter dari Sungai Pandan berkata, pada mulanya dia menyangka bau gas sebelum berpindah dari bilik depan ke bilik belakang.
“Ini pertama kali berlaku dan saya merasa pening kepala dan sesak nafas sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!