Pembayar cukai disaran semak status sekatan perjalanan sebelum ke luar negara

Pembayar cukai diingatkan untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi serta maklumat lain menerusi pangkalan data LHDN.
Pembayar cukai diingatkan untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi serta maklumat lain menerusi pangkalan data LHDN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembayar cukai disarankan supaya menyemak status sekatan perjalanan mereka dengan lebih awal sebelum membuat perjalanan ke luar negara.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pungutan Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Azaharuddin Mohd Ali berkata, tindakan itu bagi mengelakkan tekanan pada saat akhir kepada pembayar cukai yang ‘tersekat’ di pintu keluar masuk negara akibat tunggakan cukai.

Justeru, beliau mengingatkan pembayar cukai untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi serta maklumat lain menerusi pangkalan data LHDN bagi memudahkan agensi itu untuk memaklumkan tentang sebarang tunggakan cukai atau sekatan perjalanan yang dikenakan.

"... rata-rata pembayar cukai tidak mengemas kini maklumat. Sebab itu LHDN menguar-uarkan kepada pembayar cukai untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi sebab segala maklumat yang kita salurkan hanya kepada maklumat terkini yang ada di pangkalan data LHDN.

"Pembayar cukai disaran melayari portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my/ dan kemas kini maklumat peribadi terkini seperti e-mel, alamat rumah dan nombor telefon,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program terbitan Bernama Radio dengan topik ‘Klinik Cukai - Sekatan Perjalanan: Apa Perlu Dilakukan?’ pada Selasa.

Azaharuddin berkata, LHDN merupakan agensi kerajaan yang menguruskan cukai langsung dan agensi itu boleh mengambil tindakan berkenaan melalui Arahan Potongan Gaji (Arahan CP38), selain mengenakan tindakan mahkamah serta sekatan perjalanan terhadap mereka yang mempunyai tunggakan cukai.

Beliau berkata, sekatan perjalanan itu adalah langkah terakhir yang dikenakan bertujuan mewujudkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab selain bagi memastikan tidak wujud ketirisan cukai serta memberi keadilan kepada pembayar cukai yang lain.

Pada masa sama, beliau berkata, sekatan perjalanan itu boleh dibatalkan dengan segera selepas pembayar cukai menyelesaikan bayaran tunggakan mereka secara sekali gus pada waktu tersebut secara dalam talian di portal MyTax menerusi butang ‘Sekatan Perjalanan’.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk membayar tunggakan cukai secara sepenuhnya boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat kebenaran bagi mendapatkan pelepasan sementara mengikut tempoh yang dipersetujui.

"... kita pun tahu kadang-kadang mungkin pembayar cukai yang ingin keluar negara atas faktor yang mendesak, contohnya kematian saudara di luar negara, jadi kita ada pertimbangan sewajarnya. LHDN rasional, ada budi bicara dan kita tidak terlalu kejam sampai minta bayaran penuh.

"Jadi, kita ada pertimbangan iaitu pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat persetujuan dan kita akan berikan pelepasan sementara kepada mereka,” katanya yang turut menekankan agar pembayar cukai tidak culas membuat bayaran tunggakan secara ansuran yang dipersetujui.

Semakan status sekatan perjalanan boleh dibuat menerusi portal Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!