Panik rumah terbakar, sampai lupa mana letak kunci rumah
TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga dalam talian berkali-kali mengucap rasa syukur apabila terselamat dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Kampung Berangan Masjid tengah malam Isnin.
Nik Siti Nor Hamzani Mohd Ghani, 27, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, dia yang tinggal berseorangan masih belum tidur dan berada di ruang tamu.
Menurutnya, ketika menuju ke biliknya untuk mengambil pengecas telefon dia terkejut melihat api marak membakar sebahagian ruang bilik itu.
"Saya panik dan berlari beberapa minit di dalam rumah untuk mencari kunci pintu dan jeriji kerana tiba-tiba terlupa di mana kunci disimpan.
"Sehingga sekarang pun saya tidak tahu di mana saya ambil kunci pintu dan boleh keluar dari rumah dengan selamat sebelum menjerit meminta pertolongan ibu saudara dan jiran," katanya kepada Sinar Harian.
Berkongsi kejadian itu lagi, anak bongsu daripada sembilan beradik itu memberitahu, tidak terhidu bau atau nampak asap sepanjang berada di dalam rumah pusaka itu.
Menurut Nik Siti Nor Hamzani, menjadi rutin setiap malam dia ditemani abangnya, Nik Mohd Hakimi, 52, dan isteri yang akan tidur di rumah itu.
"Bagaimanapun, ketika kejadian abang pulang untuk mengambil barang di rumahnya di Kampung Sungai Pinang.
"Syukur Alhamdulillah kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih trauma apabila teringat kembali kejadian yang berlaku," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Lizan Abu Bakar berkata, bomba menerima panggilan mengenai kebakaran pada jam 12.40 tengah malam.
Beliau berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai dari BBP Wakaf Bharu bergegas ke lokasi kejadian yang membabitkan rumah jenis separuh kekal.
"Kami dapati sebanyak 80 peratus rumah itu terbakar namun, dapat dikawal dalam tempoh 20 minit," katanya.
Lizan memberitahu, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!