Pengayuh beca cadang had umur, kawasan operasi dipertimbangkan
MELAKA - Lebih 200 pengayuh beca berdaftar di negeri ini bersetuju dengan usaha kerajaan negeri yang menetapkan peraturan baharu bermula tahun hadapan, namun mahu syarat had umur dan kawasan operasi diperhalusi.
Pengerusi Abang Beca Melaka, Azman Dollah, 58, berkata, sebagai duta kecil pelancongan, mereka bersetuju dengan syarat-syarat baharu Undang-Undang Kecil (UKK) Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024 yang akan dikuatkuasakan pada awal tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya, beberapa syarat perlu dikaji semula bagi memastikan kebajikan golongan pengayuh beca tidak terabai.
Ini kerana katanya, terdapat ura-ura MBMB akan mengehadkan operasi kepada hanya satu tempat daripada empat kawasan iaitu Bangunan Stadthuys, Kapal Flora de Lamar (Muzium Samudera), Menara Taming Sari dan Kota A Famosa yang tidak dipersetujui jika ia dilaksanakan.
"Saya telah terima notis makluman peraturan UKK ini termasuk antaranya pengayuh beca akan mempunyai pakaian seragam dan kurangkan 'volume' muzik dan pemilihan lagu berkonsepkan irama tradisional.
"Cuma berharap syarat lesen had kawasan dan umur dipertimbangkan memandangkan sudah menjadi kebiasaan kami akan bergerak untuk mencari pelanggan antara empat kawasan itu sejak sekian lama," katanya ketika ditemui di Banda Hilir di sini pada Selasa.
Bagi pengayuh beca veteran, Kamarudin Jantan, 72, yang mengayuh beca sejak 1979, syarat baharu UKK Beca MBMB 2024 itu tidak sepatutnya menyekat rezeki warga emas sepertinya.
Katanya, warga emas yang masih berdaya seharusnya dibenarkan untuk menjadi pengayuh beca.
"Lebih 40 tahun saya bawa beca tak pernah lagi sampai kena buat pemeriksaan kesihatan dan hadkan umur 60 tahun untuk layak ambil lesen walaupun kesihatan dan kudrat saya masih kuat.
"Kalau (MBMB) kata 60 tahun ke atas tak boleh bawa beca, mana saya nak cari pendapatan dan pekerjaan lain untuk membayar sewa rumah," katanya.
Sementara itu, pengayuh beca muda, Muhammad Faiq Mustapha, 30, berkata, dia bersetuju dengan syarat baharu yang akan ditetapkan oleh MBMB, namun mahu segala keputusan diputuskan selepas mendapat pandangan semua persatuan beca di negeri ini.
"Mana yang baik untuk menjaga kebajikan pengayuh beca memang saya sokong tapi perlu melibatkan persatuan dan bukannya kerajaan ambil keputusan sendiri tanpa mendengar rintihan kami," katanya.
Terdahulu media melaporkan lebih 170 pengayuh beca yang menjadi ikon pelancongan Melaka bakal berwajah baharu pada tahun hadapan.
Datuk Bandar, Datuk Shadan Othman berkata, mereka akan dipanggil untuk ditemu duga dan disaring pada Oktober sebelum diberikan lesen baharu pada Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!