Perhilitan pantau kehadiran buaya di Tasik Shah Alam

Pegawai Perhilitan menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini.
Pegawai Perhilitan menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor akan melakukan pemantauan berkala dekat Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 susulan tular kehadiran seekor buaya di tasik berkenaan pada Isnin.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya akan terus memantau lokasi terbabit dari semasa ke semasa.

"Pemantauan secara berkala dan operasi pemindahan akan dijalankan bergantung kepada penilaian dan keadaan semasa di lapangan.

"Siasatan mengesahkan akan kehadiran buaya di dalam tasik tersebut namun siasatan terperinci masih dijalankan Jabatan Perhilitan Selangor bagi mengenal pasti saiz sebenar reptilia berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Lokasi di sekitar kawasan Tasik Shah Alam, Seksyen di sini yang didakwa muncul seekor buaya.
Lokasi di sekitar kawasan Tasik Shah Alam, Seksyen di sini yang didakwa muncul seekor buaya.

Katanya, perbincangan telah dijalankan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mengenal pasti tindakan susulan yang perlu dijalankan untuk menjamin keselamatan awam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan kekal berada pada jarak yang selamat ketika beriadah di kawasan terbabit.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tular di media sosial berkaitan kemunculan buaya di tasik terbabit pada Isnin.

Pada 2019 lalu, penduduk Shah Alam turut digemparkan dengan kehadiran seekor anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini.

Anak buaya tembaga itu ditemui di pam air tasik terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!