Peniaga Pasar Payang 1 lega jualan kembali laris
KUALA TERENGGANU - Setelah sebulan beroperasi, peniaga di Pasar Kedai Payang 1 kini mampu menarik nafas lega apabila menerima sambutan mengalakkan daripada pelanggan selain jualan barangan meningkat berbanding sebelum ini.
Peniaga cenderahati, Nur Fatihah Othman, 26, berkata, kehadiran pengunjung yang ramai pada cuti sambutan Hari Kebangsaan lalu sedikit sebanyak melegakan mereka yang bimbang pendapatan terjejas susulan berpindah ke pasar baharu berkenaan sejak 1 Ogos lepas.
"Semasa awal berpindah ke Pasar Kedai Payang 1 ini memang ada rasa bimbang tak ramai pelanggan yang datang sebab pasar ini masih baharu dan ada di antara mereka tak tahu pun pasar ini sudah beroperasi sejak 1 Ogos lepas.
"Pada hari biasa memang keadaan di sini agak lenggang dan sepi. Alhamdulillah, keadaan ini berbeza pada cuti hujung minggu dan cuti perayaan, ramai pelanggan yang singgah di Pasar Payang 1 ini untuk membeli cenderahati dan antara paling laris adalah kunci rantai (keychain) serta patung penyu selain pelbagai kraftangan menarik yang lain.
"Peniaga tak menang tangan untuk melayan pelanggan terutama pada cuti perayaan selain jualan barangan meningkat walaupun masih ada kedai yang belum sepenuhnya beroperasi lagi di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Kedai Payang 1 dekat sini pada Selasa.
Sementara itu, peniaga barangan dapur, Wan Saidah Wan Abdul Ghani, 38, berkata, dia menjangkakan Pasar Kedai Payang 1 itu akan kembali meriah dan dikunjungi lebih ramai pelanggan setelah semua premis perniagaan dibuka sepenuhnya bermula minggu hadapan.
"Buat masa ini ada beberapa kedai yang belum beroperasi menyebabkan keadaan di pasar ini sedikit sepi terutama pada hari biasa.
"Namun pada cuti hujung minggu dan cuti perayaan, pasar ini mula meriah dengan kehadiran pengunjung. Kawasan perniagaan di sini juga sudah baharu, luas dan mempunyai kemudahan seperti lif dan eskalator sekali gus memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengunjung yang datang terutama warga emas.
"Saya jangka jualan kami kembali meningkat setelah semua premis mula beroperasi sepenuhnya di sini dan pasar ini kembali menjadi tumpuan orang ramai untuk dikunjungi," ujarnya.
Sementara itu, tinjauan mendapati pengunjung dilihat mula memasuki Pasar Kedai Payang 1 selepas membeli barangan lain termasuk keropok dan barangan basah di Pasar Kedai Payang 2 yang terletak berhampiran dengan pasar baharu berkenaan.
Pengunjung dari Selangor, Sabrina Mazlan, 27, berkata, dia mengambil kesempatan untuk mengunjungi Pasar Kedai Payang 1 itu setelah mendapat maklumat daripada peniaga di pasar lama bahawa jualan cenderahati dan kraftangan dijual di pasar baharu tersebut.
"Setelah membeli keropok di Pasar Kedai Payang 2, saya pergi ke Pasar Kedai Payang 1 untuk membeli cenderahati. Tak jauh pun dari Pasar Payang 2 untuk berjalan ke sini dan difahamkan kira-kira 280 meter nak ke Pasar Payang 1.
"Ini kali pertama saya berkunjung ke Pasar Kedai Payang 1 dan berasa kagum dengan reka bentuk tradisional yang ada pada pasar baharu ini. Pasar baharu ini sangat luas dan selesa untuk kami membeli barangan tanpa perlu bersesak dengan pelanggan lain sekiranya tempat ini dipenuhi orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!