Tidak benar PM main politik dengan negeri pembangkang - Fahmi
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermain politik dengan negeri pembangkang sebaliknya sentiasa meluangkan masa untuk melawat serta mempercepatkan pelaksanaan projek tertentu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dapat dilihat dalam beberapa lawatan Anwar ke negeri- negeri berkenaan.
“Beliau bukan hanya banyak meluangkan masa untuk melawat, malah mengenal pasti masalah yang harus diatasi segera serta mempercepat proses pelaksanaan projek.
"Seperti sewaktu ke Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk melihat masalah bersebelahan dengan Sungai Golok dan sejumlah dipercepat,” katanya di sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Isnin mendakwa menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan masih mengamalkan sentimen politik tebal dengan negeri pembangkang.
Dakwanya, perkara itu membataskan kerjasama kerajaan negeri dengan persekutuan terutama dalam sektor tertentu khususnya di peringkat kementerian
Fahmi berkata, Anwar sejak dari awal menyatakan komitmen dalam mengurus pembangunan termasuk negeri ditadbir pembangkang.
"Kita cuma tegaskan aspek urus tadbir yang baik, tata kelola yang baik ini perlu diketengahkan dan diutamakan,”jelas beliau.
Mengulas mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan Madani menyekat kebebasan bersuara, Fahmi berkata ia adalah tidak benar.
Menurutnya, perbezaan pentadbiran kerajaan sekarang dengan zaman Dr Mahathir bagaikan langit dan bumi.
"Ala kesian Dr Mahathir, (tetapi) beliau masih boleh bersuara dan tidak ada sesiapa yang menghalangnya untuk mengeluarkan kenyataan.
"Tiada sesiapa menghalang beliau untuk hadir ke mana-mana acara," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Kabinet di sini pada Selasa.
Menurutnya, Dr Mahathir didakwa mengamalkan pemerintahan kuku besi sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri Ke-4.
"Waktu itu kita ingat, akhbar ditutup, orang berdemontrasi di jalanan dipukul, ditangkap, dipukul, dipenjara.
"26 tahun dahulu di mana berlakunya seorang Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dilucutkan jawatan dan kemudian diheret ke mahkamah, dipukul dalam tahanan.
"Begitu ramai berdemo atas jalan raya di perlakukan. Semua itu berlaku pada zaman Dr Mahathir, bukan sekarang," jelas Fahmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!