JKR, KPM diharap ambil langkah siapkan SK Kampong Baru Kapit

JKR Sarawak dan KPM diharap dapat membantu menyiapkan segera pembinaan SK Kampong Baru Kapit. Foto FB Alexander Nanta Linggi
JKR Sarawak dan KPM diharap dapat membantu menyiapkan segera pembinaan SK Kampong Baru Kapit. Foto FB Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KAPIT - Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat mengambil langkah yang sesuai bagi membantu menyiapkan projek sakit pembinaan Sekolah Kebangsaan Kampong Baru, di sini secepat mungkin.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kelewatan menyiapkan kerja berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menghantar semula anak mereka di sekolah itu.

Beliau yang telah meninjau projek di bawah kerajaan Sarawak itu semalam berkata, proses lantikan semula kontraktor sedang dijalankan dan akan mengambil masa hingga setahun selepas kontraktor asal ditamatkan kontrak kerana gagal menyiapkannya mengikut jadual.

"Saya telah bertemu dengan wakil kontraktor dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerja mereka yang telah menimbulkan kesusahan kepada banyak pihak, terutamanya pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Alexander meninjau projek pembinaan SK Kampong Baru Kapit. Foto FB Alexander Nanta Linggi
Alexander meninjau projek pembinaan SK Kampong Baru Kapit. Foto FB Alexander Nanta Linggi

Ahli Parlimen Kapit itu yang sempat singgah di Pejabat Pendidikan Daerah Kapit sebelum pulang ke Kuala Lumpur dimaklumkan terdapat 49 sekolah di Kapit dengan 45 daripadanya sekolah rendah manakala bakinya sekolah menengah.

Daripada jumlah itu, 14 sekolah di Kapit, Song dan Belaga telah diangkat oleh JKR Sarawak bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan bangunan daif yang melibatkan kos sebanyak RM2.2 juta.

Buat masa ini kerja-kerja telah dimulakan di lima sekolah rendah dan dua sekolah menengah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!