Kelibat buaya di tasik Shah Alam: MBSA pasang tali penghadang

MBSA memasang tali penghadang di sekitar kawasan Tasik Seksyen 7, Shah Alam di sini.
MBSA memasang tali penghadang di sekitar kawasan Tasik Seksyen 7, Shah Alam di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memasang tali penghadang di sekitar kawasan Tasik Seksyen 7, Shah Alam berikutan tular dakwaan kemunculan seekor buaya di tasik itu pada Isnin.

MBSA dalam kenyataannya memaklumkan, Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor juga akan meletakkan gegantung peringatan di sekitar tasik dan memasang perangkap buaya.

"Orang ramai diminta untuk berhati-hati dan jika perlu mengelakkan beriadah di sekitar Tasik Seksyen 7, Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, MBSA telah mengadakan lawatan tapak dan perbincangan bersama Perhilitan Selangor berhubung kemunculan reptilia terbabit seperti tular di media sosial.

Perbincangan mengenai isu itu dihadiri Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam, Mohd Azhar Mohd Sharif; Pengarah Kesihatan Persekitaran MBSA, Norhisham Mohammad; Timbalan Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Selangor, Mohd Amir Abu Bakar dan pasukan PANTAS MBSA serta pegawai dari kedua-dua agensi di lokasi berkenaan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di Tasik Shah Alam, Seksyen 7 susulan tular dakwaan kemunculan seekor buaya di tasik berkenaan pada Isnin.

Pada Isnin, tular satu hantaran mendakwa terdapat kelibat seekor buaya di Tasik Seksyen 7 di sini menerusi media sosial.

Terdahulu, pada 2019 penduduk Shah Alam turut digemparkan dengan kehadiran seekor anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!