Aset baharu Maritim Malaysia perkukuh keselamatan perairan negara

Anggota Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan perairan negara daripada diceroboh. Foto Maritim Malaysia
Anggota Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan perairan negara daripada diceroboh. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memastikan keselamatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara seiring dengan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tambah baik itu melibatkan aset laut dan udara serta penambahan sumber manusia dan teknologi terkini.

Beliau berkata, menerusi usaha berterusan kerajaan itu, Maritim Malaysia akan menggunakannya sebagai strategi menangani isu pencerobohan di perairan negara.

Menerusi penambahbaikan aset udara dan laut, Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan perairan negara daripada diceroboh. Foto Maritim Malaysia
Menerusi penambahbaikan aset udara dan laut, Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan perairan negara daripada diceroboh. Foto Maritim Malaysia

"Strategi berkenaan adalah langkah mitigasi yang dirancang oleh Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara akan sentiasa terpelihara.

"Malah hasil daripada rondaan dan operasi yang dijalankan di seluruh perairan negara, Maritim Malaysia merekodkan 434 kes tangkapan vesel nelayan asing (VNA) dari 2020 hingga Julai 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, daripada jumlah tangkapan VNA tersebut, sebanyak 308 dari Vietnam, diikuti Indonesia (81), Thailand (35) dan China (10).

Selain itu katanya, Maritim Malaysia merekodkan tangkapan seramai 3,694 orang nelayan asing sepanjang 2020 hingga Julai 2024 atas pelbagai kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, angka berkenaan hanya sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara berikutan terdapat kekangan yang dihadapi oleh Maritim Malaysia.

Jelasnya, antara kekangan itu adalah kekurangan kapal dan bot kerana perlu menjalani penyelenggaraan berjadual, selain terdapat aset yang dimiliki telah uzur.

Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum. Foto Maritim Malaysia
Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum. Foto Maritim Malaysia

Beliau berkata, berdasarkan kepentingan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memastikan sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang dinamakan KM Tun Fatimah siap dibina dan beroperasi di perairan Laut China Selatan.

Selain itu katanya, KDN telah melaksanakan perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland (AW) 189 untuk Maritim Malaysia meningkatkan lagi pemantauan udara di Zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan sempadan perairan negara terutama bagi keperluan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu mengulas hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mahukan KDN terus menjadi penyumbang kepada kedudukan negara kekal berada dalam 10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI), Mohd Zawawi yakin perkara itu boleh dicapai.

Kata beliau, Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum, seterusnya menjadi laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui perairan negara.

Maritim Malaysia bertindak melakukan khidmat menyelamat kepada golongan memerlukan. Foto Maritim Malaysia
Maritim Malaysia bertindak melakukan khidmat menyelamat kepada golongan memerlukan. Foto Maritim Malaysia

Selain itu jelasnya, semua aktiviti ekonomi dapat dilakukan tanpa sebarang ketakutan dalam kalangan nelayan tempatan serta pengusaha bot komersial.

"Diharap tahap keselamatan yang dipertingkatkan ini dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk masuk ke dalam negara, memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara selamat di dunia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!