Lindungi penyeludup, 6 termasuk penolong pengarah agensi penguat kuasa ditahan
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong pengarah agensi penguat kuasa dan lima individu lain dipercayai terbabit dalam melindungi kegiatan penyeludupan di Tumpat, Kelantan.
Sumber berkata, perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu berjaya diperoleh ke atas kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an tahun.
Kata sumber, perintah reman telah dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pagi Selasa.
Menurut sumber, berdasarkan risikan dijalankan SPRM, kesemua suspek termasuk penolong pengarah agensi penguat kuasa berkenaan dipercayai terlibat melindungi kegiatan penyeludupan haiwan hidup, selain beberapa barangan bersubsidi seperti minyak dan tepung.
"Pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai telah menerima rasuah antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada beberapa suspek terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan tersebut.
"Kesemua suspek ditahan menerusi Op Smug sekitar jam 2.20 hingga 4.40 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!