Isu penempatan pegawai agama Islam: Bantahan MCCBCHST keterlaluan, Islamofobia

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Bantahan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) terhadap cadangan pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan jelas keterlaluan dan menunjukkan sikap Islamofobianya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut secara sengaja akan menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

Menurutnya, ia bukan kali pertama dilakukan MCCBCHST bahkan sama seperti bantahan mereka terhadap cadangan pindaan Akta 355 untuk memperkukuh Mahkamah Syariah pada April lepas.

"Dalam kedua-dua kes bantahan ini, MCCBCHST jelas menunjukkan naratif sumbang dan menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha menambah baik kedudukan serta pengamalan Islam di negara ini merupakan 'ancaman' terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam.

"MCCBCHST menunjukkan sikap melampau dan angkuhnya untuk campur tangan dalam urusan orang Islam dengan membuat tafsiran serta menentukan ajaran Islam mana yang harus berada 'di ruang awam' atau sebaliknya.

"Lebih buruk daripada itu, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta dukungan undang-undang terhadap ruang lingkup, bidang kuasa dan peranannya dalam pentadbiran negara serta kehidupan awam rakyat," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah itu bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Pas menggesa MCCBHST menarik balik kenyataan tidak berhemah berhubung usaha murni kerajaan untuk menyelaras program agar lebih selari dengan prinsip Islam tanpa mengabai atau melanggar hak kebebasan orang bukan Islam.

"Pas juga percaya MCCBHST harus kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman serta keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia.

"Bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!