FAM hargai kesungguhan PM perkasa Harimau Malaya

FAM mengucapkan terima kasih kepada Anwar selepas mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk Harimau Malaya.
FAM mengucapkan terima kasih kepada Anwar selepas mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk Harimau Malaya.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memperkasakan skuad kebangsaan.

"Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta warga FAM menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Anwar dan kerajaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

"Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri dalam memberikan peruntukan tersebut selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya," katanya dalam kenyataan.

Pada Selasa, Anwar telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan dan RM5 juta daripada syarikat swasta untuk memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya.

Nilai RM15 juta itu disalurkan khusus untuk memastikan skuad negara dapat menjadi gergasi Asia dalam beberapa tahun akan datang.

Menurut Hamidin, FAM turut akan turut mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan mengenai pengurusan skuad negara.

"Ia bertujuan membentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan kebangsaan bagi merealisasikan usaha ini dengan satu tujuan iaitu untuk mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!