KPF agih dividen lima peratus kepada 255,000 anggota koperasi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Pengerusinya, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, pengagihan itu diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM108.85 juta yang memberi manfaat kepada lebih 255,000 anggota koperasi.
"Banyak proses dan peringkat yang dilalui untuk memastikan kepatuhan terhadap prosedur yang ditetapkan dan dengan bimbingan serta kerjasama oleh SKM, kami berjaya melaksanakan tugas ini dengan lancar dan berkesan.
"Pengurusan KPF juga wajar dipuji atas dedikasi mereka dalam menyediakan semua dokumentasi diperlukan, memastikan setiap langkah mematuhi prosedur yang ditetapkan SKM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd (FGV).
Ujarnya, sokongan padu daripada kedua-dua entiti berkenaan sangat membantu KPF dalam memastikan kesejahteraan peneroka, warga dan kakitangan terjamin.
"Dengan kerjasama erat antara KPF, kumpulan Felda dan FGV, kami berazam untuk terus memperkukuhkan kedudukan kewangan demi manfaat bersama.
“KPF optimis bahawa dengan sokongan padu daripada semua pihak. Kami akan kekal maju dan berkembang, seterusnya memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh warga Felda.
"Kami berharap agar semua anggota terus memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha yang dijalankan KPF," katanya.
Menurut beliau, koperasi tersebut akan kekal kukuh dan mampu menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan dengan kerjasama dan semangat kesatuan yang berterusan daripada semua pihak.
Tambahnya, rata-rata pemegang saham meluahkan rasa syukur dan gembira dengan pengumuman dividen berkenaan.
Dalam pada itu, salah seorang anggota KPF, Ahmad Yusri Yusof, 51, berkata, pengagihan dividen tersebut memberikan kelegaan kewangan yang amat diperlukan, terutamanya dalam situasi ekonomi yang mencabar.
"Menerusi dividen ini, ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dan ini menunjukkan keprihatinan KPF terhadap anggotanya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!