Menitis air mata, meluru peluk ibu selepas dilepas dan dibebaskan

Mohd Asraf beredar dari kandang tertuduh dan meluru ke galeri awam untuk memeluk ibunya selepas hakim memutuskan melepaskan dan membebaskannya daripada dua tuduhan kes rasuah berhubung kerja-kerja menurap semula jalan empat tahun lalu.FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN
Mohd Asraf beredar dari kandang tertuduh dan meluru ke galeri awam untuk memeluk ibunya selepas hakim memutuskan melepaskan dan membebaskannya daripada dua tuduhan kes rasuah berhubung kerja-kerja menurap semula jalan empat tahun lalu.FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat menitiskan air mata selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa melepaskan dan membebaskannya daripada dua tuduhan kes rasuah berhubung kerja-kerja menurap semula jalan empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Anita Harun memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh Mohd Asraf Redzuan, 41, di akhir kes pendakwaan.

Mendengar keputusan itu, Mohd Asraf beredar dari kandang tertuduh dan meluru ke galeri awam untuk memeluk ibunya.

Ketika membaca keputusan itu, Anita berkata, mahkamah menemukan elemen-elemen keraguan sekali gus menjadikan pertuduhan itu cacat.

Mahmud (kiri) menemani Mohd Asraf (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, bagi keputusan kes rasuah yang dihadapinya.FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN
Mahmud (kiri) menemani Mohd Asraf (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, bagi keputusan kes rasuah yang dihadapinya.FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN

Beliau berkata, antara elemen-elemen itu ialah saksi pendakwaan (SP) ke-13, tidak pernah menunjukkan bukti berlakunya kes meminta wang rasuah yang disalurkan sama ada kepada tertuduh atau saksi pendakwaan SP15 yang berusia 37 tahun.

“Tertuduh menyatakan tidak mengenali atau berhubung dengan SP10 (seorang lagi lelaki berumur 46 tahun) yang mana diakui oleh saksi tersebut ketika soal balas.

“SP10 juga tidak mengetahui isu penyaluran wang termasuk mana-mana ‘orang dalam’ dalam kejadian rasuah yang didakwa berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau memerintahkan Mohd Asraf dibebaskan tanpa perlu membela diri manakala pasport dan ikat jamin dikembalikan semula.

Mohd Asraf. FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN
Mohd Asraf. FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Asraf menerusi seorang lelaki berusia 37 tahun secara rasuah didakwa meminta RM5,000 dan menerima wang berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki lain berusia 46 tahun sebagai upah baginya selaku seorang pegawai badan awam di pejabat berkenaan.

Mohd Asraf didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula dua lorong di Kampung Batu 10, Kebun Baru di Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat pentadbiran sebuah masjid dan sebuah bank tempatan di Seksyen 14, di sini antara 11 November 2020 hingga 24 Februari 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!