Kekangan logistik desak Malaysia Airlines beroperasi dalam keadaan bermasalah

Kekurangan dalam rantaian bekalan, tenaga kerja dan alat ganti serta kelewatan penyerahan pesawat mendesak Malaysia Airlines beroperasi dalam keadaan bermasalah. Gambar hiasan
Kekurangan dalam rantaian bekalan, tenaga kerja dan alat ganti serta kelewatan penyerahan pesawat mendesak Malaysia Airlines beroperasi dalam keadaan bermasalah. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kekurangan dalam rantaian bekalan, tenaga kerja dan alat ganti serta kelewatan penyerahan pesawat mendesak Malaysia Airlines beroperasi dalam "keadaan bermasalah”, menurut Sobie Aviation, firma analisis dan perundingan penerbangan bebas yang berpangkalan di Singapura.

Penganalisis bebas Sobie Aviation, Brendan Sobie berkata, seperti banyak syarikat penerbangan lain, agak sukar untuk mengekalkan operasi berikutan kekangan yang berterusan dalam industri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Mereka (Malaysia Airlines) tidak bersendirian namun malangnya, mereka telah terjejas terutamanya dalam beberapa bulan lepas berbanding yang lain. Keadaan semakin meruncing beberapa bulan lepas, apabila tiada pesawat dan alat ganti mereka yang tersedia,” katanya dalam wawancara dengan saluran berita CNBC baru-baru ini.

Beliau berkata, prestasi ketepatan masa (OTP) Malaysia Airlines telah merosot sejak satu atau dua tahun lepas.

"Ini bukan perkara baharu, ia baru mencapai keadaan meruncing, namun semua syarikat penerbangan dapat menguruskan jadual dengan teratur. Saya berpandangan ada sesuatu yang jelas tidak kena kerana tidak semua syarikat penerbangan menghadapi masalah seperti Malaysia Airlines,” jelasnya di samping menambah, perkara itu melibatkan "cara menguruskan isu tersebut”.

Pada 24 Ogos, Malaysia Aviation Group (MAG), yang mengendalikan Malaysia Airlines, mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penerbangan dan laluan bagi tempoh antara sekarang hingga Disember 2024.

Keputusan itu dibuat sebagai tindakan balas kepada gangguan terbaru dalam perkhidmatan mereka, yang menjejaskan Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal Services sepanjang minggu 19 Ogos, 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, tindakan sedang dilaksanakan sebagai langkah pembetulan berkenaan insiden terbaru untuk memastikan kebolehpercayaan jangka masa panjang terhadap kumpulan pesawatnya serta kekuatan operasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, pengeluar peralatan tulen (OEM) perlu bekerjasama dengan syrikat penerbangan untuk mengurangkan masalah yang berakar umbi itu.

"Terutamanya (mereka perlu) menumpukan model penyelenggaraan jangkaan pintar untuk memastikan kegagalan komponen pesawat dapat dijangka dengan tepat dalam tempoh yang diingini,” katanya kepada Bernama bagi mengulas mengenai isu logistik dan masalah yang sedia ada.

Beliau berkata, usaha itu akan membawa kepada pengurangan tempoh ditetapkan untuk membaiki, baik pulih dan menyelenggara pesawat.

"Alat ganti pesawat pada masa kini lebih rumit. Sangat bermanfaat jika syarikat penerbangan dapat berkongsi pangkalan data penyelenggaraan mereka dengan OEM untuk semua pihak membangunkan model kegagalan komponen yang tepat secara holistik,” katanya.

Menurut Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airlines telah diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan mengenai status pelaksanaan pelan mitigasi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Berdasarkan siasatan ke atas syarikat penerbangan itu, CAAM telah mengurangkan tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) Malaysia Airlines daripada tiga tahun kepada satu tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!