Kerjasama ST, Rasuah Busters kukuh integriti, cegah salah guna kuasa

Norhayati Nordin (empat dari kanan) bersama kakitangan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Norhayati Nordin (empat dari kanan) bersama kakitangan Suruhanjaya Tenaga (ST).
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan Rasuah Busters sebagai rakan sinergi merupakan langkah penting bagi memperkukuhkan integriti dan mencegah sebarang manipulasi salah guna kuasa dalam sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, menerusi perkongsian dan kerjasama tersebut, ia diyakini dapat sebar luas kesedaran integriti kepada pekerja dalam usaha memperlengkapkan ekosistem anti rasuah.

Menurutnya, ia penting bagi membantu satu persekitaran yang lebih memberangsangkan seterusnya melahirkan pekerja yang komited.

"Kerjasama ini diteruskan kerana ST juga adalah sektor yang kritikal di negara kita. Oleh sebab itu, kita mahu ia beroperasi secara lebih telus dan amat penting untuk menuju kemampanan negara.

"Kami amat hargai ST kerana sentiasa konsisten bersama Rasuah Busters dan memberi kepercayaan untuk berkongsi misi memperkukuhkan pengawasan akauntabiliti mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Norhayati, antara lain yang ditekankan adalah sistem nilaian yang disetarakan kepada peraturan dan undang-undang pelesenan perlaksanaan projek dan sebagainya.

Jelasnya, integriti dalam sektor ini tentunya memberi kesan dan mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia sama ada daripada sudut ekonomi mahupun gaya hidup.

"Latihan yang terbaik adalah apa yang kami kongsi dan terapkan. Kami percaya sedikit sebanyak sudah pasti dapat mempertingkatkan keyakinan awam kepada keupayaan sektor tenaga seterusnya memberi manfaat kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap kerjasama ini diteruskan dan boleh disebar luaskan kesedaran integriti di peringkat lain bagi melahirkan negara tanpa rasuah dengan nilai moral, karakter bangsa," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!