Pengendali bangunkan rangkaian 5G kedua diumum beberapa minggu lagi - Fahmi

Pengendali yang akan terlibat untuk membangunkan rangkaian 5G kedua dijangka diumumkan beberapa minggu lagi. Gambar hiasan
Pengendali yang akan terlibat untuk membangunkan rangkaian 5G kedua dijangka diumumkan beberapa minggu lagi. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali yang akan terlibat untuk membangunkan rangkaian 5G kedua dijangka diumumkan beberapa minggu lagi, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pembangunan rangkaian 5G kedua itu kini dalam fasa minggu terakhir sebelum Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memuktamadkan penelitian mengenai proses tender yang bermula 1 Ogos lepas.

"Kita jangka dalam masa beberapa minggu ini satu pengumuman dapat dibuat mengenai siapa yang akan terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelancaran Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’ di sini pada Selasa.

Menurutnya, beberapa prinsip telah diketengahkan dan dipersetujui oleh semua syarikat telekomunikasi sebelum mereka memiliki pegangan saham dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Antara prinsip itu adalah DNB perlu mampan, dan perkhidmatan yang diberikan oleh rangkaian kedua tidak seharusnya lebih mahal berbanding apa yang disediakan DNB, katanya.

"Selain itu, mutu perkhidmatan mesti sebaik yang disediakan DNB atau lebih baik daripada itu. Saya telah serahkan kepada MCMC untuk meneliti perkara ini,” katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Fahmi berkata, empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah mengemukakan bidaan masing-masing kepada MCMC untuk mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua.

Fahmi berkata, MNO itu adalah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!