Masuk rumah hantu, berikut hukumnya yang perlu diketahui

KETAHUI hukum memasuki rumah hantu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
KETAHUI hukum memasuki rumah hantu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

BAGI segelintir orang, tidak berbaloi melabur semata-mata untuk memasuki rumah hantu jika sudah tahu dirinya memang seorang yang penakut.

Masakan tidak, buat apalah menghabiskan duit untuk perkara yang akhirnya menggerunkan diri sendiri. Begitulah pandangan mereka.

Namun begitu, ada sebilangan orang memang gemar memasuki tempat-tempat sebegitu. Pantang dengar ada rumah hantu baharu, laju sahaja mereka menyerbunya untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalamnya.

Bagaimanapun, terdapat pihak yang melihat penganjuran rumah hantu tidak sepatutnya diadakan dan menjadi tempat tarikan untuk dikunjungi.

Apakah pandangan Islam tentangnya? Bolehkah kita masuk ke dalam rumah hantu atau menganjurkan aktiviti seperti itu?

Sebelum mengulas lanjut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, secara umumnya apa sahaja anjuran hiburan yang melibatkan hantu dan juga alam mistik tidak dibolehkan atas dua faktor utama iaitu:

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Artikel Berkaitan:

Pertama: Penganjuran program sebegitu berkemungkinan mencederakan diri, merosakkan mental, memburukkan imaginasi seseorang dan mengakibatkan jiwa seseorang menjadi lemah.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh menimbulkan rasa takut dalam diri hingga menyebabkan waswas dan membayangkan ilusi-ilusi palsu apabila berada di tempat gelap atau ketika berseorangan. Akhirnya ia boleh mendorong berlakunya masalah histeria dan kerasukan jin.

Justeru, apa jua anjuran aktiviti seperti rumah hantu dan seumpamanya boleh membawa mudarat besar kepada diri, sedangkan antara tujuan pensyariatan Islam itu sendiri adalah menjaga diri dan jiwa, memelihara akal dan menjauhkan daripada sebarang perkara yang boleh memudaratkannya.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kemudaratan (dalam syariat Islam) dan tidak boleh menyebabkan kemudaratan (tanpa hak).” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Kedua: Terdapat larangan jelas daripada menakut-nakutkan orang Islam, memeranjatkan dan menyebabkan ketakutan dalam diri orang lain.

Perkara itu jelas dinyatakan berdasarkan hadis daripada Abdul Rahman bin Abi Layla bahawa beberapa sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan: “Para sahabat Nabi Muhammad SAW bermusafir bersama Baginda. Salah seorang daripada mereka tertidur, lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seseorang Muslim membuatkan Muslim yang lain terkejut.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sekalipun seseorang itu sekadar bergurau sahaja, perbuatan menakut-nakutkan itu dilarang sama sekali.

Dalam kitab Syarh Sunan Abi Dawud, Imam Ibnu Ruslan menyebut, larangan itu juga termasuk ke atas setiap mereka yang membuatkan Muslim lain terkejut atau takut, sama ada seseorang itu berada di tempat gelap atau dalam keadaan lalai.

Berdasarkan kepada perbahasa itu, Dr Zulkifli menegaskan, hukum menganjurkan dan memasuki rumah hantu adalah tidak dibolehkan kerana ia memudaratkan dan bertentangan dengan hukum syarak.

Bahkan, ia juga selari dengan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 25 Oktober 2007 yang mana dinyatakan bahawa umat Islam tidak seharusnya dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Perlis juga memfatwakan bahawa perbuatan ini adalah haram atas sebab-sebab yang disebutkan tadi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #3304: Menganjurkan atau Memasuki Rumah Hantu yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri.

SECARA umumnya apa sahaja anjuran hiburan yang melibatkan hantu dan juga alam mistik tidak dibolehkan kerana faktor tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SECARA umumnya apa sahaja anjuran hiburan yang melibatkan hantu dan juga alam mistik tidak dibolehkan kerana faktor tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Dalam pada itu, beliau berpesan agar umat Islam tidak membudayakan penganjuran rumah hantu seperti itu dan tidak menyokong mereka yang menganjurkan aktiviti sedemikian dengan memasukinya.

“Ingatlah, ALLAH SWT menyatakan dengan jelas bahawa syaitan ialah musuh kita. Maka tidak wajar untuk kita takut terhadap musuh tersebut.

“Alangkah baiknya jika kita dapat mencari sesuatu yang lebih mendatangkan manfaat kepada diri dan mengembangkan akal fikiran.

“Sebaiknya, gantilah hiburan yang melalaikan dengan perkara lebih berfaedah. Nescaya ALLAH SWT akan menggantikan keseronokan hiburan yang kita tinggalkan itu dengan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat dengan izin-NYA,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!