Dua lelaki ditahan curi tembaga pembumi KTMB
GOMBAK - Tindakan dua lelaki cuba mencuri tembaga pembumi bangunan di Stesen Bekalan Kuasa, Rawang dekat sini mengundang padah apabila diberkas pada Isnin.
Ketua Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Superintenden Harizan Hassan berkata, maklumat berkaitan kejadian diterima pada jam 9.10 malam.
"Anggota Polis Bantuan di Pejabat Serendah telah menerima maklumat dari Pusat Penyaluran dan Pengumpulan Maklumat Polis Bantuan Ibu Pejabat (PPPM) memaklumkan sistem penggera di Bangunan Stesen Pembekal Bekalan Kuasa berbunyi.
"Susulan itu, dua suspek kemudiannya berjaya dijejaki sebelum ditahan di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, turut dirampas tembaga berkenaan selain peralatan yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
"Antara dirampas ialah 21 potongan tembaga pembumi, besi jek hidraulik, peralatan memecah bangunan dan tiga pemotong kabel.
"Kedua-dua suspek terbabit berumur lingkungan 30-an itu kemudian dibawa ke Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, kejayaan dicapai ini hasil pemantauan dan rondaan berkala anggota Polis Bantuan KTMB.
"Selain itu, ia juga hasil kerjasama daripada jabatan dalaman di KTMB yang terjalin bagi memastikan kegiatan kecurian aset KTMB dapat dibendung.
"Masyarakat sentiasa dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat sekiranya menyedari kes kecurian kabel di mana-mana kawasan dengan menghubungi talian di 03-2263 1194," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!